KOTA KINABALU – Pusat Persediaan Sains dan Teknologi (PPST) Universiti Malaysia Sabah (UMS) telah menganjurkan Seminar STEM kali ke-2 bertujuan memupuk dan membudayakan penyelidikan dan penerbitan dalam kalangan ahli akademik PPST UMS.
Dengan tema Academia and Beyond, seminar secara dalaman yang disertai oleh 24 ahli akademik PPST itu antara lain berperanan sebagai platform untuk menyampaikan pembentangan hasil-hasil kajian yang dijalankan di PPST UMS.
Menurut Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UMS, Profesor Ir. Dr. Rosalam Sarbatly, bagi menarik lebih ramai para pelajar sekolah untuk meminati bidang STEM, penyelidikan dan pendidikan STEM harus terus berkembang di PPST.
“Seminar ini telah menunjukkan usaha dan komitmen PPST dalam mempromosikan STEM di mana ia menjadi platform kepada penyelidik PPST dalam bidang pendidikan sains dan STEM untuk berkongsi dan bekerjasama bagi mengembangkan lagi budaya penyelidikan dan penerbitan STEM di PPST dan UMS amnya.
“Ia telah lama menjadi inspirasi kepada Malaysia untuk menjadi sebuah negara maju dengan kemakmuran ekonomi melalui pelaksanaan pendidikan STEM. Oleh itu, saya berharap PPST akan terus cemerlang bukan sahaja dalam memupuk minat pelajar terhadap STEM tetapi juga dalam kalangan ahli akademik di PPST,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan seminar tersebut di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), baru-baru ini.
Sementara itu, Pengarah PPST Profesor Dr. Jumat Sulaiman berkata sebanyak 34 penerbitan berindeks berjaya diterbitkan sepanjang tahun 2021-2022, disamping 55 penerbitan merangkumi prosiding, bab dalam buku dan OER@UMS.
“Selain itu, sebanyak 10 pembiayaan penyelidikan baharu telah diperoleh PPST, iaitu masing-masing sebanyak enam pada tahun 2020 dan dua geran penyelidikan baharu pada tahun 2021 dan 2022.
“PPST juga telah mencapai satu perlindungan harta intelek (IPP) untuk hak cipta modul pembelajaran berasaskan masalah untuk fizik (elektrik) dan beberapa lagi senarai permohonan.
“Saya yakin bahawa pencapaian dalam penerbitan dan pemerolehan geran penyelidikan adalah mencabar dan tidak mudah. Saya berharap usaha hebat ini dapat diteruskan dan menjadi pemangkin untuk berusaha mencapai kecemerlangan dalam bidang akademik,” tambahnya.
Sebanyak 23 kertas kerja telah dibentangkan dari pelbagai bidang berkaitan STEM dan pendidikan dan enam daripadanya telah dianugerahkan sebagai kertas kerja terbaik pada seminar kali ini.
PPST UMS anjur seminar STEM kali ke-2
Advertisements