Bung mahu Kementerian Pengangkutan campur tangan turunkan tambang pesawat balik mengundi

Oleh : Jaafar Abd Wahid

Advertisements

KOTA KINABALU: Kementerian Pengangkutan perlu campur tangan bagi meminta syarikat penerbangan menurunkan kadar tambang untuk orang ramai pulang mengundi pada Piluhan Raya Umum Ke-15 (PRU15), khususnya di antara Sabah, Sarawak dengan Semenanjung dan sebaliknya.

Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin, berkata tanpa campur tangan kementerian, ramai rakyat Sabah dan Sarawak di Semenanjung berdepan kesukaran untuk pulang mengundi dan begitu juga rakyat Semenanjung di kedua-dua negeri turut berdepan situasi sama.

Katanya, situasi itu sesuatu yang merugikan negara, terutama golongan yang dijangka paling ramai terjejas akibat kadar tambang yang mahal iaitu pengundi muda atau Undi18 dalam kalangan pelajar.

“Semakan mendapati kadar tambang pergi balik syarikat penerbengan khususnya di antara Sabah dan Semenanjung menunjukkan kadar yang semakin tinggi menjelang dua tiga hari sebelum hari mengundi pada 19 November depan.

“Bukan itu saja, kadar tambang jika balik sebelum akhir bulan ini dan kembali selepas hari mengundi juga adalah tinggi, malah ada yang mencecah hingga RM800.

“Jumlah itu sangat besar bagi golongan perantau, khususnya pelajar dan sudah pasti melemahkan semangat mereka untuk pulang menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi pada 19 November depan,” katanya ketika ditemui selepas mesyuarat perhubungan UMNO Sabah, di sini, malam Selasa.

Bung Moktar yang juga Ketua UMNO dan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah sebelum itu turut mengadakan perjumpaan dengan wakil rakyat BN Sabah serta sayap Pemuda, Wanita dan Puteri UMNO sebelum menghadiri mesyuarat BN negeri.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas tindakan perlu diambil berhubung rungutan pelajar Sabah di Semenanjung yang berdepan halangan untuk pulang mengundi disebabkan tiket penerbangan yang mahal.

Menerusi kenyataan hari ini, Markas Siswa Siswi Islam Sabah (MARSIS) dan Gabungan Mahasiswa Islam SeMalaysia (GAMIS) Sabah membangkitkan isu tambang yang menjadi kerisauan utama mahasiswa untuk pulang melaksanakan tanggungjawab sebagai pengundi.

Kata mereka, walaupun diberi cuti pelepasan untuk pulang mengundi pada PRU15 bermula 17 hingga 21 November depan, pelajar Sabah di Semenanjung mungkin tidak dapat memanfaatkan peluang itu berikutan masalah tambang penerbangan yang mahal.

Merwka menjelaskan, cuti pelepasan selama lima hari untuk pulang mengundi itu tidak memberi apa-apa makna jika pelajar tidak dapat pulang disebabkan tidak mampu membayar harga tambang penerbangan.

Sementara itu, Bung Moktar mengulangi cadangannya sebelum ini kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) supaya memasukkan golongan pelajar sebagai antara kategori pengundi awal atau pengundi pos bagi memastikan mereka tidak terlepas menunaikan tanggungjawab demokrasi.

Katanya, kedua-dua kategori pengundi itu dapat menyelesaikan masalah ketidakmampuan pelajar membeli tiket penerbangan yang mahal untuk pulang mengundi, khususnya pelajar Sabah atau Sarawak di Semenanjung dan sebaliknya.

“SPR perlu mencari jalan mempermudah golongan pelajar atau pengundi muda (Undi18) untuk menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi dan antara kaedah terbaik ialah memasukkan mereka sebagai pengundi awal atau pengundi pos,” katanya.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles