Industri Filem Sabah perlu sebuah agensi di bawah kerajaan negeri Sabah

KOTA KINABALU : Persatuan Filem dan Video Kota Kinabalu (KKFVA) berharap manifesto parti politik di Sabah pada pilihanraya umum ke-15 ini akan turut memberi perhatian terhadap pembangunan industri kreatif di Sabah seperti yang diwujudkan di negeri Sarawak.

Advertisements

Presiden KKFVA, Chester Pang berkata sudah sampai masanya parti politik yang bakal menerajui kepimpinan negara memberi perhatian kepada pembangunan industri kandungan digital seperti perfileman di Sabah kerana industri ini turut menyediakan peluang pekerjaan, meransang ekonomi setempat dan membantu mempromosikan Sabah melalui filem.

Beliau berkata, industri ini semakin rancak dan bermula dari tahun 2020 sehingga penghujung tahun ini dijangkakan sebanyak lapan buah filem yang dihasilkan oleh penerbit tempatan Sabah dimana tiga daripadanya telah ditayangkan di pawagam seluruh negara manakala lima lagi akan ditayangkan pada penghujung atau awal tahun hadapan.

Filem Avakas, arahan Marc Abas antara filem yang terawal ditayangkan ketika negara masih diselubungi oleh pandemik covid 19 dan dari jumlah tersebut tidak termasuk penggambaran program TV untuk stesyen TV tempatan seperti RTM, TVS, Astro dan dari luar negara yang dianggarkan melebihi 30 kandungan.

Chester Pang yang juga merupakan penerbit filem ”Craze Below The Wind” berkata, sebelum ini ramai senior dan rakan kami dalam industri ini telah mencadangkan dan mengesyorkan penubuhan atau meletakkan kami dalam sebuah agensi atau dalam mana-mana badan jabatan kerajaan negeri untuk membolehkan pengwujudan sebuah pusat sehenti (one stop center) bagi membolehkan penggiat- penggiat seni mendapatkan maklumat dan tatacara permohonan permit bagi melancarkan penggambaran di Sabah.
Selain itu, agensi kerajaan tersebut juga boleh menyelaraskan dana-dana yang diperuntukkan oleh kerajaan persekutuan terutamanya melalui Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (K-KOM) untuk disalurkan kepada penerbit-penerbit tempatan Sabah.

Sebagai contoh TV Sarawak (TVS) yang terletak dibawah Sarawak Media Group (SMG) , yang merupakan anak syarikat Kerajaan (GLC) Negeri Sarawak telah berjaya memacu perkembangan industri kreatif sehingga berjaya menarik penerbitan filem ”Edge of the world” dari Hollywood yang bernilai RM48 juta. Malah ramai tenaga mahir Sarawak telah kembali ke Sarawak untuk merebut peluang yang disediakan oleh Kerajaan Sarawak termasuk penerbit dan pengarah filem dari Sabah dan Semenanjung Malaysia.

Pada masa yang sama, beliau turut berterima kasih kepada Finas kerana memberi peluang dan membimbing penggiat-penggiat seni di Sabah sejak tahun 2018 dan semasa kawalan pergerakan (PKP) tahun 2020 dan 2021 turut menyediakan dana mikro dimana sedikit sebanyak dapat membantu penggiat industri di Sabah.

Terdahulu, dalam mesyuarat jawatankuasa dua orang baharu iaitu Mohd Hazrien Bin Khamis dan Lau Yon Hau telah dilantik sebagai ahli jawatankuasa KKFVA baharu bagi penggal 2023- 2025. Turut dipersetujui dalam mesyuarat ialah pengganjuran pertandingan filem pendek ”Golden Wind Award” edisi ke-3 pada tahun hadapan selepas 4 tahun terhenti.

Turut hadir pada mesyuarat bulanan ahli jawatankuasa tersebut ialah Setiausaha persatuan Samuel Tsen, Bendahari Samantha Wong, Penolong Setiausaha Christina Fong, ahli jawatankuasa Lee Chun Chieh, Ho Thau Kyun dan Ryan Ong.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles