UPKO Kota Belud restui Ewon bertanding di Penampang

KOTA BELUD: Pimpinan Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Bahagian Kota Belud hari ini memberi restu kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian Datuk Ewon Benedick untuk bertanding dalam pilihanraya umum ke-15 bagi kerusi parlimen Penampang mewakili Pakatan Harapan (PH).

Advertisements

Restu dan sokongan tersebut dizahirkan dalam mesyuarat khas UPKO Kota Belud di Pusat Khidmat ADUN Kadamaian yang diadakan hari ini.

Pengerusi Tetap UPKO Kota Belud Johnny Gilong menyatakan Ewon telah membuktikan perkhidmatan cemerlang di Kadamaian dan yakin Ewon boleh memberi perkhidmatan yang cemerlang di Penampang.

“Kami mahu Ewon bukan hanya memimpin Kadamaian, kami mahu beliau juga akan memimpin Sabah dan Malaysia melalui Penampang. Kami berharap penduduk Penampang akan memberi sokongan kepada Ewon agar beliau dapat membuktikan perkhidmatan dan kepimpinannya kepada daerah tersebut selepas menang pilihanraya,” katanya.

Menurut beliau, rakyat Kadamaian sememangnya mengetahui bahawa bapa Ewon berasal dari Penampang manakala ibunya dari Kadamaian.

“Kami telah memberi kemenangan kepada Ewon pada tahun 2018 dan 2020. Kami percaya beliau boleh memberi perkhidmatan cemerlang untuk kedua-dua daerah ibu dan bapanyq,” katanya.

Sementara itu, Setiausaha Penganjur UPKO Kota Belud Dr Rizoh Bosorang juga menyatakan restu dan sokongan yang sama kepada Ewon.

“Penampang adalah bandar kedua Kota Kinabalu. Saya yakin pengalaman Ewon dalam kabinet dan perkhidmatan bersama Wakil-Wakil Rakyat Penampang sebelum ini terutama Tan Sri Bernard Dompok, Datuk Donald Mojuntin dan Datuk Philip Lasimbang, beliau dapat merencana tadbir urus pembangunan Penampang yang cukup baik sepertimana beliau laksanakan di Kadamaian melalui Pelan Induk Pembangunan Kadamaian, 2020-2035,” katanya.

Pengerusi Majlis Penasihat UPKO Kota Belud Jaintin Molondoi turut menyatakan akan memastikan ahli keluarga dan saudara mara yang berkahwin, menetap dan mengundi di Penampang agar memberikan sokongan kepada Ewon.

“Saya sendiri mempunyai ahli keluarga yang telah berkahwin di Penampang. Maka kami akan berkempen melalui keluarga. Kami akan memberitahu mereka apa yang telah Ewon buat di Kadamaian sebagai panduan agar mereka menyokong beliau dalam pilihanraya ini,” katanya.

Ketua Wanita UPKO Kota Belud Datin Saniah Tuak turut merestui pencalonan Ewon sebagai calon PH di Penampang.

“Sebagai seorang ibu, sudah tentu saya mahu anak akan berkhidmat dan membantu kedua-dua ibu dan bapanya. Mengenali Ewon dan bagaimana dia menyayangi ibu dan berkhidmat untuk daerah kampung ibunya, saya juga sangat yakin beliau dapat berkhidmat untuk daerah kampung bapanya. Ini akan menyempurnakan tanggungjawab beliau sebagai seorang anak,” katanya.

Dalam mesyuarat khas itu juga, Ewon turut menjelaskan bahawa pilihanraya umum ini bukan hanya untuk memilih Wakil Rakyat Parlimen tetapi juga akan memilih Perdana Menteri dan Kerajaan Persekutuan.

“PH mempunyai calon Perdana Menteri yang jelas iaitu Anwar Ibrahim yang mengetuai parti berbilang kaum iaitu Parti Keadilan Rakyat (PKR). Tidak pernah dalam sejarah pilihanraya umum kita, calon Perdana Menteri itu mengetuai parti yang berbilang kaum, selama ini daripada parti untuk satu kaum sahaja.

“Kita juga tidak boleh mencaturkan hak Sabah melalui konsep ‘menang dulu baru runding’ kerana ia seolah-olah satu bentuk perjudian politik. Hak Sabah mesti diperjuangkan dengan jelas, bukan untuk diperdagangkan selepas pilihanraya.

“Warisan mulai berubah selepas Mahathir menamkan Datuk Shafie Apdal sebagai seorang yang boleh diangkat menjadi Perdana Menteri. Fokus Warisan selepas itu adalah ke arah itu. Itu yang saya boleh lihat sebagai rakan yang telah menjadikan beliau sebagai Ketua Menteri. Itu sebabnya kita tidak melihat calon-calon Warisan di Semenanjung ataupun pemimpin-pemimpin Warisan Sabah bercakap tentang hak-hak Sabah apabila mereka membuka Bahagian-Bahagian mereka di Semenanjung,” katanya.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles