KOTA KINABALU: Pergerakan kemasukan pelajar Universiti Malaysia Sabah (UMS) ke kampus Induk Kota Kinabalu akan bermula pada 1 – 4 Mac depan.
Menurut kenyataan UMS, kesemua pelajar tersebut merangkumi 6 kategori seperti yang ditetapkan Kementerian Pengajian Tinggi.
“Para pelajar terlebih dahulu perlu mengisi borang UMS-Shield, sebuah aplikasi atas talian yang dibangunkan Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan bersama Fakulti Komputeran dan Infomatik (FKI) UMS bagi tujuan pencegahan penularan pandemik Covid-19.
“Sebelum memasuki perkarangan kampus, pelajar perlu mendaftar di pagar utama dan kawasan Drop Zone melalui imbasan kod QR menggunakan aplikasi My Sejahtera.
“Pada masa sama, pelajar juga wajib mengimbas kod QR menggunakan UMS Smart Hadir, sebuah aplikasi yang dihasilkan universiti ini bagi tujuan pengesahan kehadiran dan merekodkan lokasi yang dikunjungi menggunakan teknologi GPS.
“Aplikasi ini boleh dimuat turun di Play Store bagi pengguna telefon android dan App Store bagi pengguna Iphone,” demikian menurut kenyataan itu yang dikeluarkan di sini, hari ini.
Menurut kenyataan itu lagi, pelajar yang berasal dari Sabah perlu menjalani ujian swab ketika mendaftar.
Sementara itu, mereka yang memperoleh warna merah (berisiko tinggi) dalam penilaian UMS-Shield akan diasingkan untuk dirujuk ke Pusat Rawatan Warga (PRW) UMS.
“Pelajar yang mendapat warna hijau (berisiko rendah) dan warna kuning (berisiko sederhana) pula dibenarkan masuk ke kampus namun diwajibkan membuat imbasan kod QR pada setiap destinasi.
“Kesemua pelajar sama ada pelajar tempatan atau berasal dari luar Sabah diwajibkan menjalani proses pengasingan selama 10 hari.
“UMS juga telah mengenal pasti kawasan pengasingan dan kuarantin sekiranya terdapat kes bergejala yang memerlukan pemerhatian lanjut dan ujian swab susulan,” ujar kenyataan itu lagi.
Prosedur Operasi Standard (SOP) yang sama digunapakai di UMS Sandakan dan UMS Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL).
Mengulas lanjut, kenyataan itu juga memaklumkan pelaksanaan kuliah adalah secara hibrid iaitu fizikal dan dalam talian mengikut keperluan kursus yang diikuti.
Pelajar tidak dibenarkan melakukan aktiviti berkumpulan pada skala besar, sentiasa memakai pelitup muka, menjaga penjarakan fizikal serta kerap mencuci tangan menggunakan air dan sabun atau cecair pembasmi kuman yang disediakan di setiap bangunan kampus termasuk di kolej-kolej kediaman UMS.
Kesemua pelajar wajib mengimbas suhu serta kod QR My Sejahtera dan UMS Smart Hadir apabila berurusan di mana-mana kawasan universiti.
Pembersihan dan disinfeksi ruang juga perlu dilakukan sebelum dan selepas sesuatu aktiviti, dan pematuhan terhadap semua peraturan serta arahan yang dikuatkuasakan pihak berkuasa di dalam UMS dari semasa ke semasa, tambah kenyataan itu.
Seramai 6,395 pelajar dijangka akan mendaftar masuk iaitu seramai 6,022 di UMS Kota Kinabalu, 205 pelajar di UMS Sandakan dan 168 orang di UMSKAL.
Untuk rekod, kapasiti lima Kolej Kediaman UMS Kampus Kota Kinabalu mampu memuatkan 7,834 pelajar, sementara di kampus Sandakan dan UMS Kampus Antarabangsa Labuan masing-masing boleh memuatkan 954 dan 1,739 pelajar.
Sehubungan itu, ibu bapa atau para pelajar yang ingin mendapatkan maklumat lanjut boleh menghubungi Pejabat Hal Ehwal Pelajar UMS di talian 088-320060, atau facebook Laman Rasmi Jabatan Hal Ehwal Pelajar UMS, atau melalui e-mel pejhep@ums.edu.my.