TUARAN: Momentum kerjasama antara Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Barisan Nasional (BN) perlu diteruskan pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) bagi memastikan wakil 25 Parlimen negeri itu mampu memperjuangkan Sabah di peringkat persekutuan.
Ketua Menteri Sabah yang juga Pengerusi GRS Datuk Seri Hajiji Noor berkata gabungan itu menyifatkan PRU15 penting untuk memilih pemimpin yang benar-benar mampu memperjuangkan Sabah.
“Sabah diutamakan, itu mesti menjadi realiti dalam perjuangan kita kerana PRU kali ini bukan main-main, amat besar tentukan pimpinan negara akan memerintah,” kata Ketua Badan Pimpinan Bersatu Sabah dan Ketua Bahagian Bersatu Tuaran itu ketika berucap merasmikan Mesyuarat Bersatu Bahagian Tuaran Tahun 2022 di Dewan Seri Sulaman di sini hari ini.
Turut hadir pemimpin parti komponen GRS iaitu Presiden Parti Progresif Sabah (SAPP) Datuk Seri Yong Teck Lee, Presiden Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO) Tan Sri Pandikar Amin Mulia, Timbalan Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) Datuk Robert Tawik dan Ketua Penerangan Parti Bersatu Sabah (PBS) Datuk Joniston Bangkuai.
Hajiji berkata kerjasama GRS dan BN adalah kemahuan rakyat yang diterjemah pada Pilihan Raya Negeri ke-16 pada 2020 yang dilihat membuahkan hasil positif untuk rakyat maka wajarlah ia diteruskan pada PRU15.
Kita pegang kepada persetujuan ini kerana itu pilihan raya nanti kita sampaikan hasrat kepada kedua-dua komponen gabungan ini (GRS dan BN), kita secara prinsipnya bersetuju bekerjasama menghadapi pilihan raya ini berdepan parti pembangkang,” katanya.
Bercakap kepada pemberita selepas itu, Hajiji berkata GRS berminat untuk bertanding di Parlimen Tuaran dan perkara tersebut akan dibincangkan dalam mesyuarat Majlis Tertinggi GRS yang dijadualkan malam ini.
“Kita juga akan sampaikan dalam perbincangan bersama BN nanti, bisik-bisik dengan BN nampak okey lah tetapi kita kena secara rasmi, nanti diberitahu secara rasmi apabila sampai masanya,” katanya.
Ditanya kemungkinan beliau bertanding sebagai calon GRS di Parlimen Tuaran pada PRU15, Hajiji hanya tersenyum dan berkata: “Saya tidak minatlah.”
— BERNAMA
Kerjasama GRS, BN untuk pilih pemimpin Persekutuan perjuangkan Sabah
Advertisements