Oleh Razeef Rakimin, Timbalan Ketua Penerangan Parti Keadilan Rakyat Pusat
KOTA KINABALU: Saya meneliti kenyataan Shafie yang menuding jari pada pimpinan Pakatan Harapan (Harapan) atas beberapa kegagalan pentadbiran kerajaan Sabah selepas Pilihanraya Umum ke-14 lalu.
Shafie menyatakan bahawa beliau telah meminta pimpinan Keadilan Sabah (Datuk Christina Liew) dan DAP Sabah (Phoong Jin Zhe dan Chan Foing Hin) meminta Presiden Keadilan Dato’ Seri Anwar Ibrahim dan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng untuk menyelesaikan beberapa isu namun dikatakan tidak diendahkan.
Adakah Shafie lupa bahawa beliau merupakan Ketua Menteri yang mengepalai kerajaan negeri Sabah? Beliau berada dalam jawatankuasa khas Sabah-Sarawak yang dipengerusikan oleh Tun Mahathir sebagai Perdana Menteri, beliau juga menduduki Majlis Menteri-Menteri Besar/Ketua-Ketua Menteri, Majlis Kewangan Negara dan mengiringi Gabenor negeri dalam Majlis Raja- Raja. Malah beliau juga seorang ahli parlimen.
Ini merupakan jalan rasmi bagi beliau untuk membawa isu Sabah dan memperjuangan hak Sabah. Namun apa yang beliau lakukan?
Namun pelik melalui kenyataan Shafie, beliau tidak menuding jari pada Tun Mahathir yang merupakan Perdana Menteri pada ketika itu? Namun beliau sebaliknya gigih menuding jari pada Dato’ Seri Anwar Ibrahim yang hanya merupakan Ahli Parlimen Port Dickson dan tidak mempunyai sebarang jawatan Menteri.
Shafie masih tidak boleh ‘move on’ dengan kegagalan beliau mentadbir negeri Sabah yang menyaksikan penolakan rakyat Sabah terhadap kerajaan pimpinan Warisan pada Pilihanraya Negeri Sabah ke16 yang lalu.
Shafie juga cuba menunjukkan bahawa parti itu bukan sekadar parti Sabah tetapi parti nasional apabila cuba meluaskan sayap parti itu ke semenanjung namun berdepan penolakan apabila kesemua enam (6) calon Warisan hilang deposit pada Pilihanraya Negeri Johor yang lalu.
Beliau dilihat mula melupakan sayap parti itu di semenanjung dan kembali fokus di Sabah dengan membawa sentimen yang sama namun masih jelas mendapat penolakan rakyat atas kegagalan beliau.
Maka saya melihat menuding jari pada pimpinan Pakatan Harapan adalah jalan keluar mudah bagi beliau serta meletakkan kegagalan beliau mentadbir negeri Sabah di bahu pimpinan Pakatan Harapan.
Sepanjang pentadbiran Warisan juga parti berkenaan memonopoli jawatan lantikan politik samada di peringkat negeri, daerah mahupun kampung-kampung. Namun kerana sikap tamak dan kegagalan melaksanakan tanggungjawab akhirnya rakyat menghukum kerajaan Warisan.
Rakyat Sabah tidak bodoh untuk menilai kegagalan Shafie sepanjang mentadbir kerajaan Sabah dan saya yakin rakyat akan mengambil keputusan sama dengan menolak Warisan.
Shafie juga antara punca mulanya peningkatan wabak Covid-19 selepas mengambil keputusan membubarkan Dewan Undangan Negeri Sabah setelah kehilangan majoriti sokongan Ahli Dewan Negeri.
Ketika negara dan rakyat sedang bertarung mengekang penularan wabak Covid-19, Shafie tidak mengendahkan situasi berkenaan sebaliknya mengambil keputusan membubarkan DUN bagi menyelamatkan kedudukan beliau. Hasilnya rakyat menghukum tindakan beliau dengan menolak kerajaan Warisan dari terus mentadbir Sabah.
Nasihat saya, Shafie perlu cermin diri dan melihat punca kegagalan kerajaan Warisan yang jelas dari kelemahan beliau sendiri dari sibuk menuding jari pada pihak lain.