FSSK UMS-MACFEA-UTHM anjur Klinik CPR perkasa pengguna  

KOTA KINABALU: Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSK) Universiti Malaysia Sabah (UMS) dengan kerjasama Persatuan Ekonomi Pengguna dan Keluarga Malaysia (MACFEA) dan Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) menganjurkan Program Peningkatan Pendayaupayaan Pengguna: Klinik CPR (Cegah, Pantau dan Rawat) Zon Sabah, baru-baru ini.
 
Program yang memperoleh geran daripada MACFEA itu menghimpunkan seramai 31 orang peserta yang sebahagian besarnya pernah menjadi mangsa penipuan pembelian atas talian.
 
Dekan FSSK UMS, Prof. Madya Dr. Asmady Idris berkata, program itu bertujuan memberi pendedahan dan kesedaran tentang hak, tanggungjawab, pengetahuan dan kemahiran pengguna dalam urusan jual beli sama ada secara atas talian atau secara konvensional.
 
“Ia bagi memberi peluang kepada peserta mendapatkan kupasan mendalam daripada pakar berpengalaman mengendalikan isu sosial kontemporari yang melonjak dalam masyarakat terutamanya ketika era pandemik COVID-19.
 
“Program ini juga membolehkan individu bertindak atau memberi maklum balas mengikut pengetahuan, kemahiran dan kebolehan dalam urusan jual beli sebenar berdasarkan nilai pendayaupayaan yang telah diterapkan; dan mempamerkan tingkah laku pengguna berdaya upaya dalam semua aktiviti jual beli,” katanya.
 
Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
 
Dalam pada itu, Pengarah Peringkat Kebangsaan Klinik CPR merangkap wakil MACFEA, Prof. Madya Dr. Khairunesa Isa berkata, pengguna perlu bijak serta berani dan tidak panik ketika berhadapan dengan penipu dalam talian (scammer).
 
“Namun, hal ini hanya boleh berlaku jika pengguna mempunyai pengetahuan tentang hak dan berani bertindak.
 
“Justeru saya berharap, para peserta bukan sahaja dapat meningkatkan ilmu dan mengetahui hak mereka sebagai pengguna menerusi program ini tetapi turut boleh berkongsi pengetahuan yang diperoleh kepada keluarga dan sahabat handai,” katanya.
 
Program sehari itu turut diisi dengan sesi ceramah, perkongsian data tentang kes penipuan dalam jual beli di Sabah, serta perbincangan dan cadangan tindakan bagi menangani masalah tersebut.
 
Sesi ceramah turut dikendalikan Pegawai Penyiasat (Jenayah/Korporat), Jabatan Siasatan Jenayah Komersil, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sabah, ASP Kahar Arifin, dan Pegawai Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Kota Kinabalu, Rudy Asmat.
 
Turut hadir, Pengarah Klinik CPR Zon Sabah, Dr. Jalihah Md Shah.

Advertisements

Related Articles

253FansLike

Latest Articles