MA63 perlu dilaksanakan secara total – Azhar

KOTA KINABALU: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak) Datuk Seri Dr Maximus Ongkili perlu memperjuangkan 40 peratus hasil pungutan cukai sepatutnya dikembalikan kepada kerajaan Sabah sejak tahun 1963.

Advertisements

Ahli Majlis Tertinggi (AMT) Parti Warisan, Azhar Matussin berkata, pengumuman berkaitan 15 isu di bawah pemantauan Majlis Khas mengenai Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang masih belum diselesaikan adalah tidak releven didengar pada masa kini.

Katanya, Maximus sepatutnya melaksanakan segera MA63 seperti yang termaktub dalam perjanjian tersebut.

“Dalam MA63 sendiri sudah terang serta menjelaskan secara terperinci mengenai hak-hak serta tanggungjawab masing-masing diantara kerajaan persekutuan dengan Wilayah Sabah dan Sarawak.

“Apa yang susah sangat untuk dilaksanakan … Maximus kena buka balik MA63 dan laksanakan. Tidak perlu pilih mana perlu dilaksanakan dan mana tidak perlu laksanakan.

“Sudah cukup jelas MA63 telah dipersetujui sejak awal dan perkara ini pun ditandatangani,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Azhar yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Darau berkata, setakat ini tiada keperluan untuk dirunding lagi MA63 kerana ia adalah satu perjanjian antarabangsa membabitkan United Kingdom of Britain, Northern Ireland, North Borneo, Malaya, Sarawak dan Singapura.

“MA63 itu tidak boleh diubah sama ada ditambah atau dikurangkan walaupun satu huruf … sudah 59 tahun perjanjian ditandatangani … ia perlu dilaksanakan segera secara total,” katanya.

Katanya, sebarang cubaan atau cadangan untuk mengubah MA63 perlu melibatkan semua negara penandatangan asal MA63.

“Parlimen sendiri pun tiada kuasa untuk membuat sebarang perubahan kepada MA63 kerana ia adalah dua entiti yang berlainan.

“Maximus perlu berjiwa besar sebagai seorang anak Sabah. Lebih-lebih lagi sebagai menteri yang bertanggungjawab terhadap Hal Ehwal Sabah dan Sarawak,” katanya.

Azhar berkata, Maximus disarankan agar tidak menggadaikan hak dan maruah orang Sabah sebaliknya sepatutnya berusaha dengan ikhlas dan bersungguh-sungguh untuk mempertahankan hak rakyat negeri ini.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles