MP Sandakan zahir rasa kecewa terhadap kerajaan pusat tidak sediakan insentif khas untuk Sabah

MP Sandakan zahir rasa kecewa terhadap kerajaan pusat tidak sediakan insentif khas untuk Sabah

Advertisements

SANDAKAN: Ahli Parlimen Sandakan (DAP), Vivian Wong Shir Yee menzahirkan rasa kecewa terhadap kerajaan persekutuan yang tidak komited dan tidak bersedia dalam memberikan insentif cukai khas kepada Sabah bagi membolehkan negeri ini menarik lebih banyak pelaburan untuk mengembangkan industri pembuatannya.

Beliau berkata demikian bagi mengulas respon kepada jawapan bertulis Perdana Menteri berhubung soalan yang dibangkitkannya pada sidang Parlimen baru-baru ini, dimana beliau bertanya samada kerajaan persekutuan akan mempertimbangkan untuk melaksanakan polisi cukai khas untuk Sabah bagi negeri itu untuk menarik lebih banyak kilang berpindah atau bertapak di negeri Sabah, sekaligus membantu merapatkan jurang pembangunan perindustrian antara Sabah dan Semenanjung.

Dalam jawapan beliau kepada Vivian, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyatakan bahawa terdapat beberapa insentif cukai seperti Akta Penggalakan Pelaburan 1986 untuk menarik pelaburan asing ke Malaysia. Walaubagaimanapun, insentif tersebut digunakan secara seragam untuk semua negeri dan bukan secara terpilih untuk lokasi tertentu sahaja. Perdana Menteri juga menambah sekiranya kerajaan negeri Sabah merasakan perlu mempunyai dasar cukai khas sebegitu untuk Sabah, kerajaan negeri harus membawa isu itu kepada Jawatankuasa Khas Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) untuk perbincangan dan pertimbangan selanjutnya.

“Lapan dari 10 daerah termiskin di negara ini adalah di Sabah. Kadar penganggurannya juga begitu hebat pada kadar sembilan peratus pada tahun 2021, yang juga tertinggi di negara ini. Perkembangan infrastruktur kita di Sabah juga sangat jauh ketinggalan berbanding Semenanjung Malaysia. Jika tiada sebarang campur tangan yang sewajarnya daripada kerajaan, Sabah akan kekal sebagai negeri yang paling miskin di Malaysia,” kata Vivian.

“Perdana Menteri telah lantang bercakap mengenai “Keluarga Malaysia” beliau yang juga satu slogan hari demi hari diucapkan, tetapi apabila tiba untuk tindakan sebenar meningkatkan situasi sosioekonomi rakyat Sabah agar kita juga dapat sama-sama mengejar dan selari untuk menikmati tahap pembangunan yang sama seperti negeri lain di negara ini, Perdana Menteri dengan mudahnya sekadar hanya memberi respon yang acuh tak acuh dan tidak prihatin. Nampaknya Perdana Menteri mahu Sabah kekal sebagai wilayah yang termiskin selama mana yang mungkin,” tambah Vivian.

Selain itu, sebelum ini, Vivian juga menekankan bahawa penubuhan Zon Perindustrian Bebas di Sabah, terutamanya di Sandakan, mengangkat Lapangan Terbang Sandakan sebagai sebuah lapangan terbang antarabangsa kedua untuk Sabah, membina jalan Libaran Bypass, mengembangkan kampus Universiti Malaysia Sabah (UMS) di Sandakan, menubuhkan hospital kedua untuk Sandakan dan meningkatkan keselamatan sempadan juga adalah antara beberapa cadangan yang telah berulang kali dikemukakannya semasa perbahasan RMK-12 serta perbahasan Belanjawan 2022 yang merupakan pemangkin penting untuk memulakan kebangkitan Sabah.

Beliau menegaskan bahawa bukan sahaja pembangunan infrastruktur fizikal diperlukan, Sabah juga memerlukan dasar khas seperti insentif cukai khas dan proses kelulusan kerajaan yang diperkemas agar Sabah akan dapat dan mula mengejar pembangunan sewajarnya seperti negeri lain di seluruh negara.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles