KOTA KINABALU: Vaksinasi Covid-19 merupakan jalan terbaik yang dilihat mampu memberi perlindungan untuk melawan virus dari terus menular, sekali gus dapat memutuskan rantaian jangkitan, kata bekas Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak.
Memetik kenyataan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin semalam, beliau berkata orang ramai perlu mendaftar sebagai penerima vaksin Covid-19 bermula Mac ini bagi mengelak kesesakan serta pembaziran.
“Kita harus menunggu pengumuman Kerajaan seterusnya berhubung perkara ini. Sementara itu, carilah sumber-sumber berita yang sahih tentang vaksin Covid-19 ini.
“Ikutilah perkembangan semasa tentang Program Imunisasi Kebangsaan di laman web rasmi KKM di http://covid-19.moh.gov.my/vaksin-covid-19,” kata Salleh menerusi blognya.
Menurutnya penyebaran berita-berita palsu atau tidak tepat akan membawa panik dan kemudaratan di kala negara ini berhempas pulas memerangi wabak Covid-19.
“Dengan jumlah kes terkumpul sebanyak 51,217 setakat 13 Februari, Sabah kini adalah negeri kedua paling teruk diancam Covid-19 selepas Selangor.
“Awal Januari lepas kita mencatat antara 200 hingga 400 kes baharu setiap hari, dan mempunyai jumlah kes terkumpul yang paling tinggi sekali,” katanya.
Salleh berkata tujuh hari kebelakangan ini menunjukkan trend penurunan jumlah jangkitan di Sabah.
“Kita rasa sedikit lega dengan penurunan ini, namun kita tidak boleh terlalu bergembira kerana kita masih lagi diancam Covid-19 dan pakar-pakar kesihatan turut menasihati agar kita tidak berasa terlalu selamat,” tambah beliau.
Katanya ketibaan vaksin bukan bermaksud negara ini akan terus bebas dan pulih daripada Covid-19.
“Sekurang-kurangnya 70% rakyat perlu diberi vaksin bagi mencapai imuniti kelompok, yang bermaksud baki 30% rakyat turut terlindung jika 70% rakyat mempunyai perlindungan vaksin.
“Ini adalah proses yang akan memakan masa, maka kita tidak boleh mengambil sikap sambil lewa tentang bahaya wabak ini,” katanya.
Salleh berkata penurunan jumlah kes baharu dan ketibaan vaksin hanyalah langkah pertama dalam proses pemulihan sepenuhnya daripada wabak Covid-19.
Beliau yakin Kerajaan GRS akan memberikan komitmen dan kerjasama erat bersama Kerajaan Persekutuan dalam memastikan Pelan Imunisasi Kebangsaan Covid-19 mencapai matlamatnya di Sabah, dan di seluruh negara.