KOTA KINABALU: Susulan tindakan polis memindahkan sembilan anggota yang dipercayai terlibat kes peras ugut ke Sabah dan Sarawak, Pergerakan Pemuda Parti Bersatu Sabah (PBS) tampil memohon penjelasan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) berhubung perkara itu.
Ketua Exco Pergerakan Pemuda PBS, Christoper Mandut, berkata, selain memberi persepsi negatif orang awam bahawa Sabah dan Sarawak merupakan ‘tempat pembuangan’ penjawat awam yang bermasalah, tidak mustahil perkara sama juga akan berulang di kedua-dua Wilayah berkenaan.
Justeru, beliau mencadangkan kepada pihak berkuasa agar tidak meneruskan idea tersebut, kerana ia hanya mengundang kemarahan rakyat Sabah.
“Sama seperti rakyat biasa, polis juga terikat dengan undang-undang negara. Anggota seperti ini seharusnya digantung tugas mereka sehingga siasatan kes selesai, bukannya sewenang-wenang dipindakan ke Sabah,” katanya.
Menurut Christoper, langkah sedemikian memberi gambaran seolah-olah Wilayah Sabah menjadi tempat pembuangan anggota bermasalah dari Semenanjung Malaysia.
“Tindakan ini tidak boleh diterima sama sekali, dan kami meminta agar Ketua Polis Sabah menolak perpindahan anggota ini,”.
“PDRM seharusnya mengambil kira perasaan orang-orang di Sabah sebelum membuat tindakan atau kenyataan,”.
Malah, katanya, dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan, Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor sendiri meminta memaklumkan dan berbincang dengan beliau sebagai Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan Negeri sebelum tindakan itu dilaksanakan.
“Saya memandang serius perkara ini walaupun tindakan itu mungkin sebagai satu prosedur atau tindakan disiplin yang diambil entiti itu terhadap anggota mereka,” Hajiji dipetik sebagai berkata, dalam satu kenyataan pada Rabu.
Justeru, Christoper berpendapat, pihak berkuasa seharusnya menghormati kepimpinan tertinggi Sabah, sebelum membuat sebarang keputusan, apatah lagi melibatkan kes-kes sedemikian yang sudah pasti mengundang ketidakpuasan hati rakyat Sabah kelak.
“Ini bukan benda main-main. Sudahlah kita sekarang ini sedang berhadapan dengan situasi berkaitan kedaulatan negara yang melibatkan hak pemilikan Sabah, kita menambah serabut pula,” katanya.
Terdahulu, media melaporkan Timbalan Ketua Polis Selangor, S Sasikala Devi, berkata sembilan anggota polis yang sebelum ini disiasat selepas dipercayai terlibat kes pemerasan seorang ahli perniagaan di Gombak, mengenai pemilikan dadah telah ditempatkan bertugas di Sabah dan Sarawak.
Siasatan berkaitan semua anggota terdiri konstabel sehingga sub inspektor itu masih dijalankan secara terperinci.
Anggota bertugas di Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) itu ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak, pada 29 Julai.