Setiap sekolah digesa pupuk budaya bersukan – Suhaimi

SANDAKAN: Setiap sekolah perlu memupuk budaya bersukan di kalangan murid agar menjadi ahli masyarakat yang mengamalkan gaya hidup sihat dan cergas serta tidak mengabaikan sukan dalam kehidupan lantaran terlalu sibuk dengan urusan seharian.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dilantik Datuk Haji Suhaimi Haji Nasir berkata sukan mampu mewujudkan landasan ke arah kecemerlangan sukan dan memberikan peluang kepada semua murid yang berbakat dan berpotensi untuk digilap ke tahap yang lebih tinggi.

“Dalam melahirkan generasi pelapis yang berdaya saing, kita perlu memastikan perkembangan Jasmani dan rohani yang seimbang,” katanya ketika merasmikan Kejohanan Sukan Olahraga Majlis Sukan Sekolah (MSS) Zon Libaran 2022 di Kompleks Sukan Sandakan, kelmarin.

Beliau berkata kejohanan sukan sebegini adalah sangat baik dalam menyokong pertumbuhan jasmani yang sihat cergas dan mampu membina disiplin dalam kalangan pelajar.

“Melalui aktiviti sukan, masyarakat yang cergas serta aktif dapat dilahirkan, selain memupuk serta menyemarakkan semangat perpaduan dalam kalangan rakyat pelbagai kaum dan agama.

“Budaya sukan perlu sentiasa tersemat di dalam jiwa para pelajar sekolah seterusnya membantu mencapai hasrat negara dalam melahirkan barisan atlet bertaraf profesional, berkaliber dan disegani,” katanya.

Suhaimi yang juga Ketua Umno Bahagian Libaran berkata galakan dan sokongan kepada golongan muda ini mesti berterusan kerana bidang sukan juga boleh menjamin masa depan jika ia dilakukan dengan cara yang betul dan bersungguh-sungguh.

“Rebutlah peluang ini kerana kejohanan sebegini dapat memupuk nilai nilai positif serta meningkatkan kualiti hidup dan kesejahteraan diri kita seterusnya membentuk modal insan yang berkualiti,” tegasnya.

Di samping itu, beliau berkata kejohanan ini juga akan mempamerkan semangat kesukanan dan daya juang yang tinggi.

Suhaimi meminta semua murid agar gunakan kesempatan yang ada untuk mengukur keupayaan diri masing-masing.

“Percayalah anak-anak semua mempunyai potensi yang tersendiri selaras dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Kemenjadian anak-anak semua bukan sahaja diukur daripada segi akademik semata-mata tetapi ia juga turut meliputi semua aspek sahsiah diri.

“Pengukuran yang holistik pastinya melahirkan insan yang terdidik dan mampu bersaing di persada global kerana dunia hari ini menuntut modal insan yang berjiwa kental dalam menyusuri dunia tanpa sempadan,” katanya.

Turut hadir, Pegawai Pendidikan Daerah Sandakan Dr. Dalmansa Tahir, Guru Besar SJK (C) Ming Chung; Wang Siew Fatt, Guru Besar SJK (C) Pea Wha; Ong Bee Seng dan Pengurus Kejohanan yang juga Penolong Kanan KOKUM SJK (C) Ming Chung; Koh Kia Hao.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles