KENINGAU: Bekas calon Barisan Nasional (BN) Dun Sook pada pilihan negeri Sabah yang lepas menyertai Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) hari ini.
Bekas calon terbabit, Bonepes Been mengumumkan keluar Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), salah satu parti komponen BN, berkuatkuasa serta merta.
Langkah Bonepes tersebut turut disertai oleh hampir 500 ahli PBRS.
Beliau menyerahkan borang keahlian kepada Timbalan Presiden Star yang juga Menteri Belia dan Sukan Negeri Datuk Ellron Alfred Angin pada majlis bersama rakyat di kediamannya di Kampung Biah Tengah, dekat sini.
Turut hadir ialah Naib Ketua Wiramuda Star Sabah Jordan Jude Ellron.
Berucap pada majlis itu, Bonepes berkata beliau dan rakan yang lain keluar parti kerana hilang kepercayan kepada pimpinan PBRS.
“Saya mengumumkan keluar dari Parti PBRS berkuatkuasa serta merta dan saya menyertai Parti Star,” katanya.
Sambil mengalu-alukan keputusan Bonepes menyertai Star, Ellron yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri Sook berharap lebih ramai ahli di Sook, khususnya daripada pembangkang menyertai Star, sekali gus mengukuhkan kekuatan parti itu di Sabah.
Pada PRU-15 yang lalu, Bonepes berjaya meraih 1,535 undi dalam pertandingan empat penjuru.