TUARAN: Pulang dengan senyuman dan menggamit 1,001 memori.
Itulah perasaan yang dapat digambarkan usai Reunion bekas pelajar SMK Badin yang berlangsung dengan meriah di Cowboy Town, Jalan Pantai Sabandar, dekat sini pada Ahad.
Majlis santai itu dihadiri lebih 80 bekas pelajar termasuk bekas Duta Malaysia ke Jordan Datuk Jilid Kuminding dan bekas guru sekolah berkenaan.
Antara bekas guru yang hadir ialah Cikgu Ismail Ibrahim, Cikgu Rashid Alidin ,Cikgu Mawah Hj Ismail dan Cikgu Samsuri Md Isa.
Penyelaras majlis Labidah Ewit berkata majlis itu bertujuan antara lain mengeratkan silaturahim antara bekas pelajar yang sudah terpisah lama dan juga dengan bekas guru di SMK Badin.
“Majlis ini memberi peluang kami berinteraksi untuk mengimbau kenangan silam, mengubat rindu dengan kawan-kawan, sambil bertukar-tukar idea dan fikiran, bertanya khabar selepas bersara khususnya dalam mendepani kehidupan mendatang.
“Di kesempatan ini, saya mengucapkan jutaan terima kasih khusus untuk Pak Rimpun Salleh, Puan Tah Nia Jeman Pengarah Pendidikan Sabah dan Tuan Umar Sarim Saidin yang banyak membantu menjayakan program ini,” katanya
kepada Jesselton Times.
Labidah turut berterima kasih kepada AJK penganjur – Jasni Jali, Normah Kamis, Umarli Nanti dan Gazali Suhaili yang bertungkus lumus memastikan kelancaran pelaksanaan reunion SMK Badin.
Dalam ucapan alu-aluannya, Encik Jasni Jali yang mewakili bekas pelajar menzahirkan ucapan terima kasih kepada semua yang hadir termasuk para rakan dan keluarga mereka serta bekas guru.
“Terima kasih tidak terhingga kepada semua. Setinggi-tinggi penghargaan dan tahniah juga kepada rakan-rakan yang telah menyumbang menjayakan pertemuan ini, tetapi tidak dapat bersama kita atas sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan,” katanya.
Sementara itu, Cikgu Ismail Ibrahim yang mewakili bekas guru mengucapkan terima kasih atas jemputan ke majlis itu.
Guru sastera yang berasal dari Kedah itu berbangga pernah menjadi salah seorang tenaga pengajar SMK Badin.
“Semoga kita semua dapat berjumpa lagi di lain masa,” katanya.
Pelbagai aktiviti telah diadakan sempena majlis itu, termasuk sesi bergambar, cabutan hadiah bertuah, karaoke dan penampilan istimewa artis Sabah Rablin Nordin.