Penduduk dua kampung di Ranau dapat jambatan konkrit baharu lebih selesa, selamat

 

RANAU: Lebih 900 orang penduduk Kampung Togop Darat dan Kampung Togop Laut di sini kini dapat menyeberang Sungai Kopuakan dengan selamat, termasuk pada musim hujan, dengan terbinanya jambatan konkrit jenis kekal merentasi sungai tersebut.

Advertisements

Jambatan sepanjang 90 meter yang menghubungkan kedua kampung tersebut sudah boleh digunakan setelah siap sepenuhnya pada 16 Mei lalu, sebulan lebih awal daripada jadual penyiapan di mana ia sepatutnya siap pada 20 Jun.

Merasmikan jambatan itu pada majlis yang diadakan di Kg. Togop Darat hari ini, Timbalan Ketua Menteri yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kundasang, Datuk Dr. Joachim Gunsalam berkata,  jambatan baharu ini juga dilengkapi dengan papan tanda keselamatan dan kerja-kerja teknikal lain untuk perlindungan cerun dan tebing sungai seperti rumput, batuan, papan tanda dan lain-lain yang berkaitan bagi tujuan keselamatan.

“Sebagai wakil rakyat di sini saya berterima kasih kepada Kerajaan Negeri, melalui Kementerian Kerja Raya yang telah menyediakan peruntukan dan membina jambatan ini. Jambatan ini  memberikan manfaat kepada lebih 900 penduduk kampung di sini.

“Inilah bukti Kerajaan begitu prihatin kepada rakyat khususnya di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kundasang. Ini juga selaras dengan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) kerana ia adalah untuk kesejahteraan rakyat,” katanya yang juga Menteri Pembangunan Perindustrian.

Beliau berharap, dengan adanya jambatan baharu ini, penduduk di kawasan tersebut akan lebih selesa dan selamat dalam meneruskan aktiviti harian masing-masing.

Pada masa yang sama, penduduk kampung sekitar kini boleh ke Sekolah Kebangsaan (SK)Togop Darat, masjid, gereja serta mini dewan yang berada di kawasan seberang.

Beliau juga merakamkan ucapan terima kasih kepada Jabatan Kerja Raya (JKR) Daerah Ranau, dibawah pimpinan Mac Glen Frederick Lojuman dan para kontraktor atas kejayaan pelaksanaan projek jambatan tersebut.

Penduduk kampung tersebut sebelum ini menggunakan jambatan timbul tenggelam (low level crossing) yang telah dibina pada tahun 2011, tetapi apabila musim hujan berpanjangan dan banjir melanda, kenderaan kecil tidak dapat melalui jambatan itu.

Sebagai alternatif lain, mereka terpaksa menggunakan jambatan gantung untuk menyeberangi sungai tersebut.

Turut hadir ialah para Setiausaha kepada Timbalan Ketua Menteri, iaitu Setiausaha Politik, Yubidi Gumpoyo; Setiausaha Sulit, Japli Sami; Setiausaha Perhubungan Awam, Khairol M. Kalimin; Ketua Polis Daerah Ranau, Simiun Lomudin; kakitangan Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) DUN Kundasang; Wakil Ketua Anak Negeri (WKAN); Ketua Anak Negeri (KAN), ketua Kampung, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK).

Related Articles

253FansLike

Latest Articles