KOTA KINABALU: Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) membidas kenyataan Datuk Bung Moktar Radin bahawa ramai pemimpin Sabah termasuk pemimpin UPKO berdiam diri mengenai isu Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) semasa berada dalam kerajaan Barisan Nasional (BN) dahulu.
Timbalan Ketua Bahagian UPKO Kota Belud Carlye Lajimin berkata, dakwaan Bung bahawa parti-parti yang keluar BN termasuk UPKO tidak pernah bersuara atau berdiam diri mengenai isu itu adalah tidak benar.
“Saya tidak pasti parti lain tetapi bagi UPKO, Bung boleh menyemak kembali Hansard Parlimen dan Dewan Undangan Negeri Sabah (DUNS) dimana suara para pemimpin UPKO mengenai MA63 ada direkodkan, selain kenyataan melalui media arus perdana dan alternatif.
“MA63 adalah kepentingan bersama rakyat negeri ini. Jadikan ianya sebagai objektif bersama. Apa sahaja jawatankuasa yang bertujuan untuk menuntut pematuhan MA63 harus melibatkan semua pemimpin Sabah tanpa mengenal fahaman politik mereka,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Carlye turut merakamkan ucapan terima kasih kepada Bung atas penjelasan mengenai Tuntutan Baharu MA63.
“Beliau (Bung) harus sedar bahawa tanpa penjelasan yang cukup jelas maksud Tuntutan Baru MA63 pasti akan mengundang reaksi defensif daripada rakyat Sabah.
“Sebagai salah seorang pemimpin kanan Negeri Sabah, Bung seharusnya cukup faham sentimen rakyat Sabah mengenai MA63. Oleh itu beliau (Bung) tidak seharusnya melatah seperti pemimpin yang baru setahun jagung apabila mendapat reaksi balas daripada pemimpin Sabah yang lain,” katanya.
Apa yang menghairankan katanya, Bung seolah-olah mengiyakan cadangan tanpa penjelasan terperinci daripada Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Mohamad Hasan agar BN Sabah usul “Perjanjian Malaysia Baharu”
Dalam kenyataan media kelmarin, Pengerusi BN Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin menegaskan bukan tali barut menidakkan usaha menuntut MA63.
Katanya, beliau menyarankan agar sudah tiba masanya pemimpin Sabah bertindak secara bijak dalam usaha menuntut seperti termaktub dalam MA63 daripada kerajaan Pusat.
Ketua UMNO Sabah itu, menjelaskan ‘New Deal’ yang dicadangkan dalam isu tuntutan MA63 bermakna semua perkara yang menjadi halangan atau kekangan untuk melaksanakan perjanjian yang dipersetujui akan dihapuskan.
“Dalam isu ini ramai pemimpin beremosi dan sesat di jalan yang terang. Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS), Pemimpin WARISAN, Pemimpin UPKO, mereka semua ini berada dalam kerajaan BN dahulu. Namun, apabila berada dalam kerajaan mereka memilih untuk berdiam diri, apabila BN kalah merekalah yang meninggalkan BN atau melompat terlebih awal,” katanya dalam kenyataan media.