PAPAR: Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) Limbahau, Datuk Johnny Mositun turun padang menyantuni masalah rakyat, khususnya penternak ikan dalam program jelajah mendengar keluhan rakyat di kawasan Dun Limbahau.
Hari ini sahaja, beliau yang juga Naib Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS) telah menyempurnakan majlis pelepasan bibit ikan talapia di Puu Botung Sada, Kampung Tanaki, dekat sini atas jemputan Pengerusi PBST Encik Edward Sinson.
Turut hadir Kakitangan UPPM dan Ketua Kampong Tanaki dan JPKK Tanaki.
Pada majlis itu, Mositun turun melepaskan 10,000 ekor ikan talapia.
Terdahulu, dalam ucapannya, beliau menyarankan kepada kerajaan negeri agar memberikan Bantuan Baja Ikan kepada penternak ikan terutama yang terlibat dengan aktiviti penternakan ikan secara kecil kecilan di Kawasan Dun itu.
Katanya kerjsama Jabatan Perikatan juga diperlukan bagi memudahkan permohonan untuk Bantuan Baja Ikan seperti yang diberikan kepada pengusaha Pertanian lain, sekaligus meringankan beban para penternak ikan.
Mositun turut memuji inisiatif penternakan ikan talapian itu yang disertai 11 pengusaha.