MAFI sentiasa adakan sesi libat urus dengan pihak berkepentingan pastikan bekalan, pengeluaran ayam negara stabil

MACHANG (Kelantan): Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) sentiasa mengadakan sesi libat urus dengan semua pihak berkepentingan dalam rantaian pengeluaran bekalan ayam supaya dapat melihat perspektif industri secara lebih dekat.

Advertisements

Menterinya Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata ini sekaligus dapat memastikan bekalan dan kelangsungan pengeluaran ayam negara berada pada tahap yang stabil dan mencukupi.

Pada masa sama, katanya, penternak dan pengusaha ladang-ladang penternakan ayam telah menyatakan komitmen untuk bersama-sama memperkukuh sekuriti makanan negara melalui tahap pengoperasian ladang pada tahap yang optimum demi menjamin bekalan ayam yang berterusan.

“Kerajaan Malaysia merupakan sebuah Kerajaan yang bertanggungjawab, kita mengetahui rakyat berhadapan dengan kenaikan kos sara hidup, bukan sahaja dari segi bahan makanan tetapi juga barangan keperluan lain, di mana pemberian subsidi bagi mengurangkan kos pengeluaran adalah antara langkah yang dapat memastikan impak terhadap kos sara hidup dapat diminimakan,” katanya.

Beliau berkata demikan menerusi satu kenyataan sempena lawatan kerja ke sebuah ladang ayam dengan kapasiti pengeluaran 60,000 ekor ayam satu pusingan di Labok, Machang, Kelantan.

Ia bagi meninjau operasi penternakan ayam di samping mendapatkan maklumat secara langsung daripada penternak mengenai isu atau permasalahan yang dihadapi.

Ronald berkata kenaikan kos sara hidup ini bukan sahaja berlaku di negara ini, sebaliknya ia merupakan fenomena global yang turut dirasai seluruh dunia dan Kerajaan sentiasa berusaha untuk meringankan beban yang ditanggung oleh rakyat.

Katanya secara keseluruhannya, perbelanjaan subsidi bagi tahun 2022 yang ditanggung oleh Kerajaan mencecah RM77.7 bilion.

Menurutnya demi menjaga kepentingan Keluarga Malaysia, Kerajaan telah meluluskan pemberian subsidi kepada penternak bagi menampung kenaikan kos input pengeluran ayam pada kadar RM0.60/kg dari 5 Februari hingga 30 Mac lepas (Fasa 1) dan RM1.40/kg bagi tempoh 1 April hingga 30 Jun lepas (Fasa 2).

Beliau menambah bagi tempoh 1 Julai lepas (semalam) hingga 31 August ini (Fasa 3), pemberian subsidi ditetapkan pada kadar RM1.20/kg. Kerajaan memperuntukkan sebanyak RM369.5 juta untuk melaksanakan pemberian subsidi Fasa 3 ini yang menjadikan jumlah keseluruhan subsidi adalah sebanyak RM1.1 bilion sejak 5 Februari lepas.

“Setakat ini, sebanyak 4,739 permohonan tuntutan subsidi dengan nilai RM384 juta telah diluluskan oleh MAFI. Semua penternak boleh terus kemukakan permohonan sehingga supaya subsidi dapat disalurkan,” katanya.

Ronald berkata kerajaan sedaya upaya berusaha menetapkan mekanisme pengawalan harga bagi memastikan Keluarga Malaysia tidak terbeban dengan cabaran kos sara hidup.

Katanya pada 29 Jun lepas, Kerajaan telah membuat keputusan untuk tidak mengapungkan harga ayam sebaliknya meneruskan subsidi dan menetapkan harga siling runcit ayam standard pada kadar RM9.40 sekilogram, bagi Semenanjung Malaysia. Harga siling runcit telur ayam ditetapkan pada kadar 45 sen/biji bagi gred A, gred B (43 sen/biji) dan gred C (41 sen/biji) di Semenanjung Malaysia.

Bagi Langkawi, Sabah, Sarawak dan Labuan, harga maksimum ayam dan telur adalah berbeza mengikut zon dan daerah, katanya.

Menurutnya penetapan harga siling bagi ayam standard dan telur ini telah berkuatkuasa bermula 1 Julai lepas (semalam).

Beliau berkata Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna akan meneruskan tindakan pemantauan dan penguatkuasaan terhadap mana-mana premis yang didapati tidak mematuhi pelaksanaan Penentuan Harga Maksimum bagi Ayam dan Telur.

Di samping itu, katanya, pengimportan masuk untuk stok penimbal ayam juga sedang dilaksanakan secara berperingkat oleh Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) dengan jumlah kapasiti keseluruhan sebanyak 4,536 tan metrik menjelang penghujung bulan Julai 2022.

Ronald berkata kerajaan terus komited memastikan industri ayam dan telur kekal mampan dengan meneruskan pemberian subsidi supaya bekalan dalam pasaran sentiasa mencukupi dengan harga yang stabil dan berpatutan. Kerajaan akan meneruskan usaha untuk memastikan ketersediaan dan kelangsungan bekalan di pasaran kekal terjamin dengan harga yang berpatutan bagi menjamin kesejahteraan keluarga Malaysia.p

Related Articles

253FansLike

Latest Articles