Kerajaan amat prihatin soal pendidikan anak-anak Sabah – Salleh

KOTA BELUD: Kerajaan amat prihatin serta menitikberatkan soal pendidikan anak-anak dengan memperuntukkan sebanyak RM746 juta untuk bantuan sekolah daif di negara ini melalui Bajet 2022.

Advertisements

Bekas Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak berkata sebahagian besar peruntukan itu disediakan bagi melaksanakan 112 projek menaik taraf sekolah daif di Sabah.

“Peruntukan sebesar ini sudah tentu mahu melihat transformasi terancang bidang pendidikan negara berada pada landasan kukuh lebih-lebih lagi kita berdepan dengan cabaran era endemik Covid-19.

“Oleh itu, penilaian kesejahteraan pelajar dan kecenderungan untuk belajar perlu mengikut prinsipnya iaitu pihak sekolah perlu menyokong kesejahteraan pelajar dan kecenderungan mereka untuk belajar,” katanya.

Salleh yang juga Adun Usukan berkata demikian ketika berucap pada Majlis Anugerah Pelajar Cemerlang SMK Agama Tun Said, di sini hari ini.

Menurutnya pendidikan dan pengetahuan merupakan prasyarat yang penting untuk setiap negara yang ingin mencapai kejayaan.

“Kekuatan dan ketahanan sesebuah negara berasaskan kepada masyarakat berpendidikan dan berpengetahuan.

“Kini, Malaysia telah diiktiraf sebagai antara negara yang berjaya dalam menyediakan akses pendidikan untuk masyarakatnya,” katanya.

Salleh berkata di peringkat Asia Tenggara, kualiti pendidikan Malaysia berada di tangga kedua selepas Singapura.

Katanya statistik itu meletakkan Malaysia sebagai salah sebuah negara yang mempunyai daya saing yang kompetatif dan progresif.
 
Salleh berharap calon-calon SPM dan STPM tahun ini dapat meletakkan sasaran yang jelas bagi mencapai kecemerlangan dalam semua bidang agar jenama SMKA Tun Said boleh dipasarkan suatu hari nanti dalam pasaran kerja global.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles