Oleh Emin Madi
KOTA KINABALU (Bernama): Mungkin ramai yang tidak tahu pengarah baharu Taman-Taman Sabah, Dr Maklarin Lakim adalah juga pakar Lotong Merah, salah satu spesies primat Borneo yang endemik.
Paling menarik, keluarga Lotong Merah yang menjadi fokus penyelidikan Maklarin mendiami sanktuari atau kawasan perlindungan yang dikelilingi ladang dikenali sebagai Taman Bukit Tawau (TBT), terletak kira-kira 24 kilometer dari bandar Tawau di pantai timur Sabah.
Taman seluas 27,972 hektar ini, terletak di Banjaran Brassey, diwartakan sebagai Taman-Taman Sabah pada tahun 1979 bagi melindungi sumber tadahan air untuk bandar Tawau serta semenanjung Semporna, dan diuruskan oleh Taman-Taman Sabah.
Taman-Taman Sabah adalah badan berkanun bertanggungjawab untuk pemuliharaan taman negara Sabah, termasuk taman-taman marin dan rizab hidupan liar.
Maklarin mengambil alih jawatan sebagai pengarah Taman-Taman Sabah pada Januari 2020, selepas bekas ketua, Dr Jamili Nais dilantik sebagai Setiausaha Tetap kepada Menteri Pelancongan dan Alam Sekitar Sabah pada awal Januari 2020.
Berasal dari Semporna, Maklarin, 53, memulakan kajian selama lapan tahun ke atas Lotong Merah yang dikenali sebagai Maragang dalam kalangan masyarakat tempatan.
Peringkat pertama kajian ini mengambil masa dari tahun 1996 hingga 1998 dan membolehkan beliau memperolehi Ijazah Sarjana dari UniversitI Kebangsaan Malaysia (UKM).
Untuk rekod, Maklarin ada menghasilkan buku bertajuk ‘Lotong Merah Primat Eksklusif Borneo’ dan buku berkenaan dipilih menjadi pemenang Anugerah Buku Umum Terbaik 2015 Ketua Menteri Sabah.
SOSIOLOGI LOTONG MERAH
Menurut Maklarin, fasa pertama kajian beliau adalah untuk mengkaji pengasingan spesies primat.
Beliau kemudiannya menghabiskan enam tahun lagi dari tahun 2002 hingga 2008 untuk pengajian peringkat kedoktoran (PhD) di Universiti Malaysia Sabah (UMS).
Kajian ini juga melibatkan kajian terhadap ekologi haiwan primat.
Beliau yang mempunyai Ijazah Sarjana Muda dalam Sains Zoologi, UKM, menjelaskan bahawa kajian penyelidikannya adalah untuk memahami secara meluas sosiologi primat dalam habitat semulajadi.
Beliau memberitahu Bernama dalam satu wawancara baru-baru ini, untuk melaksanakan kajian tersebut, beliau perlu memerhati kehidupan harian Lotong Merah ini di hutan THP, daripada pagi hingga matahari terbenam, supaya dapat mengumpulkan data tingkah laku primat.
Penyelidikan beliau adalah untuk mengenalpasti jenis pokok di mana Lotong Merah itu tinggal, makanan yang dimakan, penjarakan sosial, waktu rehat, tabiat bergaduh serta pembiakan.
“Haiwan primat lazimnya lebih menyukai hutan tertentu untuk tidur dan akan berada di atas satu-satu pokok hingga waktu pagi.
“Kerana itu saya tidak perlu menghabiskan masa semalaman di dalam hutan ketika haiwan tidur. Saya akan kembali semula ke pokok yang sama keesokan paginya dan meneruskan pemerhatian saya.
“Penyelidikan lapan tahun saya itu merumuskan sebanyak 2,000 jam terhadap Lotong Merah dan mengambil masa berbulan-bulan untuk dianalisis, ” katanya.
Beliau menambah, penyelidikan itu juga bererti beliau perlu mengumpul data yang diperlukan untuk tujuan pengurusan Taman-Taman Sabah.Taman-Taman Sabah juga berkongsi maklumat saintifik dengan universiti terpilih, sebagai usaha untuk menambah nilai kerja penyelidikan kolaborasi mereka yang terdahulu.
SPESIES LOTONG
Menurut Maklarin, terdapat empat spesies lotong di Sabah, seperti Lotong Merah, Lotong Kelabu, Lotong Perak and Bangkatan, yang kebanyakannya ditemui di dalam hutan yang tidak terganggu, di Sabah.
“Dalam kalangan spesies lotong itu, Lotong Merah mempunyai taburan geografi yang paling meluas di Pulau Borneo. Spesies ini mempunyai kemampuan untuk menyesuaikan diri dan tinggal di habitat semulajadi tanah tinggi, yang lazimnya tidak dikunjungi spesies primat yang lain, ” katanya.
Seperti Orang Utan, Maklarin memerihalkan monyet tiu sebagai “emas merah” kerana spesies haiwan itu hanya didapati di pulau Borneo dan merupakan spesies yang amat bernilai.
Beliau berkata Lotong Merah diketahui mendiami kawasan ekopelancongan di Sabah di samping THP seperti Taman Kinabalu, Semenanjung Klias, Hutan Simpan Sepilok, hiliran Kinabatangan, Lembah Danum dan rizab hidupan liar Tabin di Lahad Datu.
Ketika menjalankan penyelidikannya di THP, beliau juga menemui spesies hidupan liar lain seperti Beruang Matahari Borneo, monyet berbulu putih dan beberapa jenis ular.
“Memang teruja sungguh kerana banyaknya spesies unggas, termasuk burung enggang badak (rhinoceros hornbills) yang tinggal di dalam hutan THP, di sebalik hakikat taman itu dikelilingi ladang, ” katanya.
Maklarin, turut berpengalaman mendaki gunung tertinggi di Malaysia, Gunung Kinabalu dan sudah 12 kali sampai ke bahagian Low Peak dan pernah mengambil bahagian dalam beberapa ekspedisi saintifik di sekitar Taman Kinabalu termasuk untuk penyelidikan amfibia dan reptilia.
Beliau juga terlibat dalam ekspedisi ke Gunung Tambuyukon, yang dianggap sebagai gunung ketiga tertinggi di Malaysia dengan ketinggian 2,579 meter dan terletak 12 kilometer ke utara Gunung Kinabalu.
FOKUS UNTUK TAMAN-TAMAN SABAH
Sebelum menyertai Taman-Taman Sabah pada tahun 1992 sebagai perintis Pengurus Taman untuk Taman Pulau Semporna, Maklarin bertugas sebagai penolong penyelidik di Pusat Lapangan Lembah Danum, pada tahun 1991.
Pusat berkenaan kini dikenali sebagai pusat penyelidikan tersohor untuk hutan hujan tropika.
Menurut Maklarin, fokus beliau sebagai ketua Taman-Taman Sabah adalah untuk meneruskan perlaksanaan pelan strategik 2015 hingga 2025 jabatan.
Ini terutama kerjasama dengan badan antarabangsa dalam aspek perlindungan alam semula jadi, di mana Taman-Taman Sabah adalah anggota Kesatuan Antarabangsa untuk Pemuliharaan Alam Semulajadi.
“Taman-Taman Sabah juga secara langsung terlibat dalam pakatan pemuliharaan antarabangsa, menerusi Inisiatif Segitiga Terumbu Karang dan Kawasan Terlindung Warisan Dunia untuk Pulau-Pulau Penyu,” kata beliau.
Maklarin berkata, pengalaman paling berharga berkhidmat dengan Taman-Taman Sabah adalah Sabah amat kaya dengan pelbagaian biologi hutan dan lautan tropika yang unik, semuanya masih dilindungi di dalam Taman-Taman Sabah.
“Orang ramai perlu menjadikan taman ini sebagai destinasi pelancongan mereka yang utama. Di samping menikmati keindahan semulajadi, mereka juga dapat kesedaran bagaimana pentingnya usaha pemuliharaan yang dilakukan oleh Taman-Taman Sabah bagi generasi masa depan.
“Taman-Taman Sabah juga adalah lambang prestij hutan semulajadi Malaysia di samping lautan tropika di pulau Borneo yang unik, yang sehingga kini kekal dilindungi, menjadi teras kebangaan warisan negara, ” katanya.
Diterjemah oleh Melati Mohd Ariff (BERNAMA)