Sokong Sebarang Usaha Sediakan Padang SAFA di setiap daerah

Oleh: Jaafar Abdul Wahid

Advertisements

KOTA KINABALU: Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA) menyokong sebarang usaha SAFA daerah untuk memiliki padang bola sendiri yang boleh digunakan bagi menjalankan program dan aktiviti sukan bola sepak di daerah masing-masing.

Presidennya, Datuk Seri Panglima Bung Moktar Radin, berkata pihaknya sentiasa menyokong hasrat mana-mana SAFA daerah untuk berusaha memiliki padang mereka sendiri.

Katanya, usaha sedemikian sangat dialu-alukan khususnya SAFA daerah yang sah berdaftar dan SAFA pusat akan sentiasa memberi sokongan yang perlu untuk memenuhi hasrat mereka itu.

“Perkara ini boleh diusahakan dan selaku presiden, saya akan berusaha membantu dan memberi sokongan terhadap hasrat mana-mana SAFA yang ingin berbuat demikian,” katanya selepas mengadakan perbincangan dengan para pegawai SAFA di kediamannya pada Rabu.

Turut hadir ialah Penolong Setiausaha Agung SAFA, Azman Mastar, Setiausaha Eksekutif, David Wisom, Pengarah Teknikal SAFA, Omar Maya Amat, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan SAFA, Lokman Sunggim, Pegawai Tadbir, Malim Surat dan ahli jawatankuasa pertandingan tempatan SAFA, Johari Datuk Aklee.

Bung Moktar menambah, hasrat beberapa SAFA daerah ingin memiliki padang sendiri adalah satu langkah yang baik bagi membolehkan mereka dapat berdikari dan mengelak kebergantungan mereka kepada padang yang dimiliki pihak lain.

Tambahnya, ketika ini SAFA daerah hanya mengharapkan untuk menyewa padang untuk mereka mengadakan program dan aktiviti bola sepak.

“Sekiranya mereka boleh memiliki padang sendiri, ia dapat mengurangkan kos penyewaan di samping boleh mengusahakan untuk menjanakan pendapatan sampingan memandangkan sambutan baik orang ramai terhadap sukan bola sepak masa kini,” katanya.

Beliau yang juga Timbalan Ketua Menteri dan Menteri Kerja Raya berkata, pihaknya sedang merancang untuk membantu SAFA daerah untuk mendapatkan tapak yang boleh dijadikan padang bola sepak.

“Ini memang ada dalam perancangan SAFA pusat dan berharap ia boleh direalisasikan dengan kerjasama semua pihak termasuk pengurusan SAFA di daerah masing-masing,” ujarnya.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles