Inisiatif Operasi Pembenihan Awan di kawasan tadahan Empangan Bukit Merah, Perak

PUTRAJAYA: Seluas 19,058 ha sawah di Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA) Kerian dan sebahagian daripada Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA) Pulau Pinang di Sungai Acheh seluas 1,267 ha sawah yang mengalami isu bekalan air untuk sistem pengairan sawah bakal berakhir setelah Kerajaan bersetuju untuk melaksanakan operasi pembenihan awan (OPA) di kawasan tadahan empangan Bukit Merah, Semanggol Kerian, Perak.
Menurut Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee, seramai 8,889 orang pesawah di kawasan IADA Kerian dan 1,267 orang pesawah dari kawasan IADA Pulau Pinang akan mendapat manfaat daripada usaha ini.
Tambah beliau lagi, subsektor lain selain daripada padi juga akan mendapat kebaikan daripada program ini iaitu perikanan dan perkilangan.
“IADA Kerian dan IADA Pulau Pinang dengan kerjasama antara Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan agensi-agensi lain yang berkaitan dijangka akan melaksanakan OPA selama tiga hari bermula 14 hingga 16 Jun 2022 bergantung kepada kesediaan awan dan kelembapan yang sesuai,” jelas Dr Ronald.
Pelaksanaan OPA ini merupakan satu proses untuk menggalakkan pembentukan awan hujan. Pelaksanaan ini adalah susulan daripada isu penyusutan paras air di Empangan Bukit Merah yang menjadi sumber utama pengairan pertanian dikawasan tersebut yang mencapai kategori Kritikal Pangairan Tahap 3 iaitu 20.00 kaki (6.10 meter). Inisiatif ini akan membolehkan paras takungan empangan dapat ditingkatkan bagi menampung keseluruhan keperluan domestik dan tanaman padi.
Antara isu dan cabaran rancangan pengairan yang sering berlaku adalah termasuk sumber air yang terhad, perubahan cuaca, pencerobohan rizab, perubahan guna tanah serta pembaziran air.
MAFI juga akan mengadakan perbincangan dengan Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA), MET Malaysia, Kerajaan Negeri Perak dan agensi-agensi lain yang berkaitan untuk mencari kaedah jangkamasa panjang bagi menyelesaikan isu air ini.

Advertisements

Related Articles

253FansLike

Latest Articles