46,046 orang di Sabah Sudah terima bantuan ‘one off’ RM300

PAPAR: Kerajaan Negeri Sabah sudah membuat pembayaran sejumlah RM13,813,800  kepada 46,046 penerima Bantuan Tunai One-off RM300, setakat 7 Februari 2021. 

Advertisements

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Hj Noor, berkata kerajaan telah bersetuju untuk melaksanakan Bantuan Sabah Prihatin COVID-19 2.0 kepada penduduk Sabah yang terjejas akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di negeri ini. 

“Bantuan ini melibatkan peruntukan sebanyak RM97,000,200  dengan 323,334 penerima di negeri ini. Pembayaran sudah bermula sejak 29 Januari lalu. 

“Kerajaan Negeri Sabah memberi bantuan 2.0 ini atas rasa tanggungjawab dan keprihatinan kepada rakyat yang terjejas berikutan pelaksanaan PKP 2.0 akibat penularan pandemik COVID-19,” katanya di sini hari ini. 

Ketua Menteri melakukan lawatan kerja ke daerah Papar hari ini, dengan antara pengisian program adalah penyampaian Bantuan Tunai ‘One-Off’ dan Bakul Makanan COVID-19 Kerajaan Negeri Sabah kepada peneroka kecil ladang getah bertempat di Semaian Kabang, Lembaga Industri Getah Sabah (LIGS), Kampung Kabang, Papar.

Hajiji berkata, kerajaan negeri sedia maklum bahawa pelaksanaan PKP 2.0, menyebabkan ramai rakyat yang terjejas termasuk tidak dapat meneruskan perniagaan kecil-kecilan selain hilang pekerjaan. 

“Justeru, bagi yang tidak  tersenarai sebagai penerima Bantuan Sabah Prihatin 1.0 tetapi turut terjejas akibat pandemik ini, mereka boleh  mengemukakan rayuan (untuk menerima bantuan),” katanya. 

Bagi yang tidak tersenarai menerima bantuan tunai one-off, rayuan boleh dikemukakan melalui Pejabat Daerah masing-masing atau menerusi kementerian atau agensi yang menguruskan bantuan berkenaan. 

Bagi pemberian bakul makanan, beliau berkata sebanyak 7,547 bakul makanan sudah diagihkan setakat 7 Februari 2021. 

Katanya, pelbagai bantuan yang diberikan kerajaan negeri ini adalah antara inisiatif  dalam Hala Tuju Sabah Maju Jaya iaitu berkaitan kesejahteraan rakyat. 

“Ini bagi memastikan semua rakyat tanpa mengira fahaman politik, agama dan bangsa, tetapi terjejas akibat COVID-19 dan pelaksanaan PKP dibantu oleh kerajaan,” katanya. 

Yang turut hadir Timbalan Ketua Menteri yang juga Menteri Pertanian dan Industri Makanan negeri, Datuk Dr Jeffrey Kitingan; Menteri Tugas-Tugas Khas, Datuk Mohd Arifin Mohd Arif; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Sr Safar Untong dan Ahli Parlimen Kimanis, Datuk Mohamad Alamin.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles