Perubahan iklim cabaran utama dihadapi oleh sektor agromakanan – Ronald

KUALA LUMPUR: Kesan perubahan iklim semakin dirasai kebelakangan ini dalam sektor agromakanan apabila sepanjang tempoh lima tahun daripada tahun 2017 sehingga 2021 sebanyak 40,828 hektar tanaman padi musnah akibat banjir di Semenanjung Malaysia.

Advertisements

Menteri Pertanian dan Industri Makanan Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata bagi tanaman agromakanan lain seperti buah-buahan, sayur-sayuran dan tanaman kontan yang terkesan adalah seluas 1,944.57 hektar.

Manakala, 9,336 hektar tanaman padi pula mengalami kerosakan akibat kemarau, katanya di Dewan Negara, hari ini.

Ronald berkata perubahan iklim merupakan salah satu cabaran utama yang dihadapi oleh sektor agromakanan menjelang 10 tahun akan datang yang perlu ditangani bagi memastikan sekuriti makanan negara terjamin.

Katanya fenomena perubahan iklim ini akan meningkatkan risiko dan kejadian bencana seperti banjir, kemarau yang berpanjangan, peningkatan suhu, pola hujan yang berubah serta kenaikan aras air laut hingga mempengaruhi ketersediaan air sekaligus memberi kesan kepada pendapatan petani secara langsung.

Menurutnya dalam usaha menangani cabaran perubahan iklim, Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) telah membangunkan dasar baharu negara melalui Dasar Agromakanan Negara 2021- 2030 dan Pelan Tindakan Dasar Sekuriti Makanan Negara 2021- 2025.

“Dua dasar ini antara lain, sedang mempergiatkan aktiviti pertanian mampan yang mesra alam dan berdaya tahan terhadap iklim bagi meminimumkan impak perubahan iklim terhadap sektor agromakanan melalui tiga ciri utama iaitu kemampanan, berdaya tahan dan berpacukan kemajuan teknologi,” katanya.

Pada masa sama, Ronald berkata MAFI telah dan sedang mengambil beberapa strategi bagi menangani kesan perubahan iklim iaitu menggalakkan penggunaan kaedah teknologi berasaskan iklim dan automasi termasuk pendekatan pertanian pintar iklim yang menitik beratkan kaedah pertanian secara mampan di samping menitik beratkan aspek pengurangan pelepasan gas rumah kaca.

Katanya kedua, memperkukuh data sekuriti makanan untuk menilai dan memantau tahap sekuriti makanan termasuk kesan perubahan iklim terhadap sektor agromakanan dan ketiga, mempergiatkan Penyelidikan, Pembangunan, Pengkomersialan dan Inovasi dalam amalan pertanian alternatif.

Turut diberi tumpuan pada startegi itu adalah menjalankan penyelidikan berhubung keberkesanan dan kecekapan penyampaian teknologi sedia ada dan inovasi kaedah baharu melalui pendekatan Pertanian Pintar Iklim bagi meminimumkan impak perubahan iklim terhadap tanaman buahbuahan seperti nanas, betik, nangka, durian serta sayur-sayuran.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles