Tiga Maut Dalam Kemalangan Jalan Raya di Simpang Marabahai Spurs, Tuaran

TUARAN: Tiga lelaki maut dalam kemalangan jalan raya yang  melibatkan pertembungan tiga kenderaan iaitu motorsikal, Perodua Kancil dan lori milik Angkatan Tentera Malaysia di Simpang Marabahai Spurs, Jalan Berungis – Tenghilan, Tuaran kira-kira jam 8.01 pagi Sabtu.

Advertisements

Menurut kenyataan yang dikeluarkan Jabatan Bomba Dan Penyelamat Sabah, mangsa yang maut dikenali  Yasa bin Samsudin,35, Deny Lee Sapiun, 25, masing-masing pembonceng dan penunggang motorsikal dan Shamsully bin Adly, 45, seorang polis yang memandu Perodua Kancil.

Kesemua mangsa disahkan meninggal dunia dilokasi oleh pihak perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia.

Kenyataan itu berkata mangsa tersebut kemudiannya diserahkan  kepada pihak polis  untuk tindakan selanjutnya. 

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Tuaran DSP Mohd Hamizi Bin Halim, dalam satu kenyataan, berkata siasatan awal mendapati sebuah Lori ATM jenis Hino  dipandu (K1) anggota ATM, lelaki berumur 24 tahun dari arah Tamparuli menuju ke arah Tenghilan, dan setiba di tempat kejadian, sebuah motosikal jenis Yamaha Ego yang ditunggang oleh seorang lelaki berumur 25 tahun bersama seorang pembonceng lelaki berumur 35 tahun tiba-tiba keluar dari arah simpang Jalan Marabahai Spur iaitu di hadapan sebelah kiri lori ATM tersebut menyebabkan pemandu lori ATM tidak sempat mengelak lalu bertembung dengan motorsikal tersebut sehingga terheret ke lorong laluan arah bertentangan. 

Beliau berkata penunggang  bersama seorang pembonceng  motorsikal turut terheret ke lorong laluan susur mengalami cedera parah dibahagian kepala dan badan meninggal dunia di tempat kejadian. 

Pada masa yang sama , katanya, lori ATM tersebut telah bertembung dengan sebuah motokar Perodua Kancil yang dipandu oleh seorang lelaki berumur 45 tahun yang datang dari arah Tenghilan. 

Pemandu Perodua kancil tersebut telah terperangkap didalam kenderaan dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian, katanya.

Mohd Hamizi berkata kes itu disiasat dibawah Seksyen 41(1) APJ 1987.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles