KOTA KINABALU: Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah, Datuk Jahid Jahim, menerima kunjungan hormat Persatuan Sukarelawan Kanser Sabah (PSKS) di pejabat menteri itu di Sembulan, sini hari ini.
Presiden PSKS, Lawrence Imui, berkata, kunjungan hormat tersebut bertujuan memberi taklimat kepada Jahid mengenai perkembangan terkini dan aktiviti terbaharu PSKS.
“Di samping itu, kami juga ingin menghargai dan mengucapkan tahniah atas pelantikan beliau (Jahid) sebagai menteri penuh dengan memegang portfolio penting iaitu Menteri KPLB Sabah,” katanya.
Sepanjang pertemuan singkat tersebut, Jahid yang juga merupakan Penasihat PSKS turut mendengar keluhan dan cadangan dari Lawrence berkaitan permasalahan dihadapi NGO berkenaan terutamanya dalam menghadapi kesukaran akibat Pandemik Covid-19.
“Tahun lepas hanya 9 program kesedaran mengenai Kanser dapat dilaksanakan, sementara majlis makan malam amal yang menjadi sumber kewangan PSKS sejak 2014 tidak dapar diadakan menyebabkan persatuan kekurangan wang bagi membiayai pengurusan dab pentadbiran persatuan,” ujar Lawrence.
Menurutnya, tahun ini juga, sebanyak 39 program telah dirancang termasuk dua kegiatan bagi mengisi tabung persatuan berkenaan, termasuk makan malam amal dan larian amal.
Malangnya, akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan SOP ketat, dua program telah pun dibatalkan, termasuklah Hari Kanser Sedunia di Dewan Masyarakat Tambunan yang sepatutnya dijadualkan pada 6 Februari 2021.
Jahid menghargai kunjungan tersebut dan berpuas hati dengan hasil pertemuan itu, dengan harapan semua aktiviti PSKS akan dapat dijalankan selepas keadaan kembali pulih seperti biasa kelak.