Peranan Golongan Muda Penting Teruskan Perjuangan PBS – Jahid

TAMPARULI: Penglibatan lebih ramai golongan muda penting sebagai pelapis bagi meneruskan kesinambungan perjuangan parti.

Advertisements

Ketua Parti Bersatu Sabah (PBS) Bahagian N.14 Tamparuli, Datuk Jahid Jahim, berkata, sudah tiba masanya PBS terus ke hadapan dengan membuka seluas-luasnya peluang kepada generasi pelapis pula untuk meneruskan kepimpinan parti.

“Di dalam persada politik ini, kita dalam PBS memerlukan golongan muda sebagai pencetus satu pembaharuan demi pemantapan parti,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Apresiasi Pemuda anjuran Pergerakan Pemuda PBS Bahagian Tamparuli, di Hidden Splitgill Cafe, sini pada Sabtu.

Turut hadir Setiausaha PBS Bahagian, Jilias Lintar, Timbalan Ketua Exco Pergerakan Pemuda PBS Pusat, Louis Lai, dan AJK Exco Pemuda Pusat, Gerard Chia Chee Ning.

“Kita mesti berhenti memandang golongan belia hanya sebagai pengganti kepada generasi lama, sebaliknya memberi peluang kepada mereka menjadi antara pemain penting di persada politik pada waktu muda,” katanya.

Justeru, beliau turut menyarankan Pergerakan Pemuda PBS Bahagian Tamparuli untuk sentiasa bersikap terbuka dalam memberi peluang kepada mana-mana Pemuda yang dilihat berpotensi sebagai pemimpin untuk diketengahkan dalam sesi pemilihan parti itu tidak lama lagi.

Menurutnya, dalam Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) PBS peringkat Cawangan menyaksikan sambutan golongan muda terhadap PBS ternyata sangat memberangsangkan.

“Semangat anak muda seperti inilah yang kita inginkan dalam PBS, sebagai pencetus idea-idea baharu demi kesinambungan kepimpinan parti,” katanya.

Terdahulu, Louis Lai, yang mewakili Ketua Exco Pergerakan Pemuda PBS Pusat, Christopher Mandut, menghargai jemputan tersebut dan memuji usaha pihak penganjur bagi memberi penghargaan kepada semua AJK yang bakal menamatkan sesi mereka di dalam Pemuda.

Sementara itu, Ketua Pergerakan Pemuda PBS Bahagian Tamparuli, Boe Sindolun, berkata, untuk menjuarai suara dan aspirasi belia sebagai pelapis, Pemuda PBS Bahagian haruslah mampu menawarkan platform kepada golongan muda untuk menunjukkan kemampuan memimpin dan menyerlahkan bakat kepimpinan.

“Saya berharap Pergerakan Pemuda Bahagian akan dapat meneruskan segala aktiviti yang telah dirancang awal namun terbantut disebabkan Pandemik COVID-19,” katanya.

Boe, bersama empat ahli Pemuda Bahagian, terdiri daripada Setiausaha, Juhulis Same, dan tiga AJK iatu Peter Liew, Michael Dani, dan Hendryson Salian, akan menamatkan sesi di dalam Pergerakan Pemuda tahun ini disebabkan faktor usia yang ditetapkan perlembagaan parti.
Program secara santai itu diketuai Timbalan Ketua Pemuda PBS Bahagian Tamparuli, Rizkam Yabin, dan seluruh kepimpinan Pemuda Bahagian.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles