Oleh Yussof J. Imbang
TONGOD; Kumpulan Sedco, Datuk Masiung Banah tidak menolak kemungkinan harga bahan api akan diseragamkan di seluruh negara jika konflik di Asia Barat terus memuncak.
Menurutnya, pendekatan mengekalkan subsidi minyak secara menyeluruh bukan lagi pilihan mampan memandangkan keupayaan kewangan kerajaan mempunyai had tertentu.
Wakil Rakyat Kuamut itu ditemui media selepas merasmikan serentak majlis Kesyukuran pilihan raya umum (PRN-17) lalu dan majlis Aidilfitri di Kampung Kuala Keramuak di sini, kelmarin.
” Jika krisis ekonomi global berpanjangan dan perang Iran dan Amerika/Israel semakin tegang, maka tidak heran harga petroleum Sabah, Sarawak dan Semenanjung akan diseragamkan.
” Kenaikan harga minyak dunia sudah tentu akan mendorong peningkatan harga barangan keperluan harian terutama barangan import, ” tegasnya.
Masiung menjangkan, subsidi minyak bagi penduduk Wilayah Borneo akan dibekukan jika keadaan kewangan kerajaan semakin terhad.
Beliau mengingatkan masyarakat di Sabah supaya bersiapsiaga dengan peningkatan kos sara hidup akibat ketidaktentuan ekonomi global, kerana situasi itu tidak dapat dielakan.
Katanya, semua lapisan masyarakat khususnya di Sabah harus mengubah gaya hidup berhemah dan mengamalkan sikap berbelanja berjimat-cermat.
Masiung menegaskan, anggaran semasa menunjukan subsidi petrol dan diesel di seluruh negara mencacah sekitar RM6 bilion sebulan berbanding RM700 juta sebelum konflik tenaga global.
Jelasnya, kos subsidi Sabah Sarawak sahaja adalah RM383 juta sebulan atau RM4.5 juta setahun
Sementara itu, harga minyak di Semenanjung bagi tempoh 9 hingga 15 April menyaksikan pertambahan di mana RON95 berharga RM4.17 seliter dan RON97 RM5.35 seliter masing-masing meningkat RM0.40 sen.
Manakala harga diesel di Semananjung melonjak RM6.72 seliter dengan peningkatan drastik RM0.70 sen.
Pada masa ini, harga diesel Sabah, Sarawak dan Labuan masih kekal RM2.15 seliter dan RON95-BUDI bersubsidi kekal RM1.99 seliter.
Pegawai Daerah Tongod, Hadzlan Jablee dan Pegawai Pembangunan Masyarakat (PPM) Tokyo Hashim Omar adalah antara lebih 400 penduduk yang hadir di majlis itu.
