Sambutan Hari Raya sebagai simbol penyatuan keluarga besar yang merentasi perbezaan kepercayaan agama

TANDEK: Sambutan Hari Raya Aidilfitri di Sabah sekali lagi mencerminkan keunikan keharmonian masyarakat berbilang agama apabila tradisi kunjung-mengunjungi terus menjadi amalan yang mengeratkan hubungan kekeluargaan dan komuniti.

Di Kampung Salimandut, Kota Marudu, Keluarga Besar Maninjau Injawan telah menganjurkan rumah terbuka Hari Raya pada 22 Mac lalu yang menyaksikan kehadiran penduduk kampung serta ahli keluarga daripada pelbagai latar belakang agama. 

Suasana penuh muhibah dan saling menghormati jelas terpancar sepanjang majlis berlangsung.

Lebih menarik, sambutan tersebut turut dihadiri Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tandek, Hendrus Anding, yang juga Pembantu Menteri Pertanian dan Perikanan Negeri Sabah. 

Kehadiran beliau bersama beberapa pemimpin tempatan lain menambah seri majlis, sekali gus mencerminkan hubungan erat antara pemimpin dan masyarakat.

Antara yang turut hadir ialah Christopher Mandut selaku Ketua Pemuda Pusat, En. Majawab Masantun (PPM N7 Tandek), serta OKK Elui Manjingkin, Ketua Daerah Mahkamah Anak Negeri Kota Marudu.

Kehadiran mereka bukan sahaja sebagai tetamu kehormat, malah mempunyai hubungan kekeluargaan seperti pakcik, nenek, datuk dan sepupu dalam kalangan keluarga besar tersebut.

Majlis yang dianjurkan itu dilihat lebih daripada sekadar sambutan perayaan, sebaliknya menjadi simbol penyatuan keluarga besar yang merentasi perbezaan kepercayaan agama. Ia juga mencerminkan realiti kehidupan masyarakat Sabah yang hidup dalam suasana harmoni dan saling menghormati.

Menurut salah seorang ahli keluarga, Puan Maraina Majinau, sambutan kali ini amat bermakna kerana berjaya menghimpunkan hampir keseluruhan keturunan Aki Tumunda.

“Saya merasakan perayaan kali ini sangat menarik kerana semua keluarga keturunan Aki Tumunda telah hadir. Saya berharap kerukunan keluarga ini akan terus dipelihara bukan sahaja pada musim perayaan seperti Hari Raya, tetapi juga dalam kehidupan seharian,” katanya.

Penganjuran rumah terbuka seperti ini dilihat sebagai satu platform penting dalam memperkukuhkan perpaduan dan keharmonian, bukan sahaja dalam kalangan keluarga tetapi juga masyarakat setempat. Ia sekali gus menjadi contoh terbaik kepada masyarakat Malaysia tentang bagaimana kepelbagaian agama dan budaya mampu menjadi asas kekuatan dan perpaduan negara.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles