KOTA KINABALU: Biro Penerangan Gagasan Rakyat Sabah akan terus diperkasa sebagai jentera utama dalam memastikan penyampaian maklumat parti kepada rakyat lebih tersusun, berkesan dan menyeluruh menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.
Ketua Penerangan Gagasan Rakyat Sabah, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, peranan biro penerangan kini semakin kritikal dalam mendepani cabaran landskap politik semasa yang dipenuhi dengan pelbagai persepsi, maklumat tidak tepat serta serangan propaganda pihak lawan.
Menurut beliau, justeru itu, kesiapsiagaan jentera penerangan di semua peringkat perlu dipertingkatkan, bukan sahaja dari segi struktur organisasi, malah melibatkan penguasaan naratif, penggunaan media digital dan keupayaan berkomunikasi secara efektif dengan rakyat.
“Biro Penerangan bukan sekadar menyampaikan maklumat, tetapi menjadi benteng utama parti dalam mempertahankan dasar, menjelaskan isu serta menangkis fitnah.
“Kita mahu setiap lapisan kepimpinan dan ahli memainkan peranan sebagai penyampai maklumat yang sahih dan berintegriti,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau turut menegaskan bahawa latihan, program penerangan serta gerak kerja bersepadu akan terus dilaksanakan bagi memastikan semua jentera benar-benar bersedia menghadapi PRU.
Dalam masa sama, Datuk Nizam menekankan kepentingan kesatuan dan disiplin dalam kalangan ahli parti agar mesej yang disampaikan selari dengan pendirian dan hala tuju kepimpinan.
“Persiapan menghadapi PRU bukan hanya soal jentera pilihan raya, tetapi melibatkan kekuatan naratif dan keyakinan rakyat terhadap perjuangan parti.
“Kita perlu bergerak sebagai satu pasukan, dengan mesej yang jelas, konsisten dan berfokus kepada kepentingan rakyat Sabah,” tegasnya.
Beliau yakin, dengan kesiapsiagaan yang rapi serta komitmen tinggi daripada seluruh jentera penerangan, Gagasan Rakyat Sabah mampu menghadapi PRU dengan lebih tersusun dan berdaya saing.
Hadir sama Ketua Penerangan Wanita Gagasan Rakyat Sabah, Senator Datuk Anna Bell Perian, Ketua Penerangan Pemuda Gagasan Rakyat Sabah, Barhul Sahibu, Ketua Penerangan Beliawanus Gagasan Rakyat Sabah, Norhayati Mohd Adnan serta ahli jawatankuasa biro.
