SANDAKAN: Enam Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) WARISAN Sandakan, iaitu YB Calvin Chong (ADUN N55 Elopura), YB Lisa Alban (N52 Sungai Sibuga), YB Alias Hj. Sani (N53 Sekong), YB Arunanarsin Taib (N50 GumGum), YB Alex Wong (N54 Karamunting) dan YB Alex Thien (N56 Tanjong Papat) menyuarakan kebimbangan terhadap pelaksanaan kadar caj bayaran parkir baharu oleh Majlis Perbandaran Sandakan (MPS) yang disifatkan terlalu tinggi dan tidak mengambil kira realiti kehidupan rakyat tempatan.
ADUN-ADUN Parti Warisan menegaskan bahawa isu ini bukan sekadar pelaksanaan sistem baharu, tetapi kadar yang diperkenalkan sejak awal lagi sudah berada pada tahap yang membebankan, sekali gus menimbulkan persoalan tentang rasional sebenar di sebalik penetapan kadar tersebut.
Menurut ADUN-ADUN Parti Warisan, keadaan ini menunjukkan kegagalan pihak berkaitan dalam memahami tekanan ekonomi yang sedang dihadapi oleh rakyat, khususnya golongan berpendapatan sederhana, pekerja harian serta peniaga kecil.
Lebih membimbangkan, ADUN-ADUN Parti Warisan mempersoalkan peranan kaunselor MPS termasuk dari Ahli Parlimen Sandakan yang terlibat dalam mesyuarat berkaitan perkara ini, termasuk yang dipaparkan dalam “fullboard meeting”, namun dilihat tidak membangkitkan sebarang bantahan terhadap kadar yang tinggi tersebut.
ADUN-ADUN Parti Warisan menegaskan bahawa tindakan berdiam diri dalam perkara yang memberi kesan langsung kepada rakyat adalah sesuatu yang tidak boleh diterima.
Mereka turut mempersoalkan sama ada kaunselor benar-benar menjalankan tanggungjawab mereka sebagai wakil suara rakyat di peringkat kerajaan tempatan.
Menurut ADUN-ADUN Parti Warisan, jika kaunselor hanya hadir mesyuarat tanpa mempertahankan kepentingan rakyat atau mencabar cadangan yang membebankan, maka mereka telah gagal dalam peranan asas mereka.
Rakyat, kata ADUN-ADUN Parti Warisan, berhak mengetahui siapa yang menyokong keputusan ini dan apakah justifikasi di sebalik persetujuan tersebut.
Dalam masa yang sama, ADUN-ADUN Parti Warisan menimbulkan persoalan sama ada terdapat jaminan bahawa hasil kutipan daripada kadar caj parkir yang tinggi ini akan benar-benar digunakan untuk meningkatkan mutu perkhidmatan MPS.
ADUN-ADUN Parti Warisan menegaskan bahawa rakyat mahu melihat penambahbaikan yang nyata seperti pembaikan jalan berlubang, penyelenggaraan lampu jalan, pembersihan sistem perparitan serta peningkatan tahap kebersihan dan pengurusan bandar secara keseluruhan.
Tanpa jaminan yang jelas dan telus, langkah ini hanya akan dilihat sebagai usaha menambah hasil tanpa akauntabiliti kepada rakyat.
Walaupun ADUN-ADUN Parti Warisan mengakui bahawa sistem parkir berbayar yang teratur boleh memberi manfaat kepada perniagaan dari segi pengurusan parkir dan aliran trafik, mereka menegaskan bahawa pelaksanaan yang tidak sensitif, khususnya dari segi kadar yang terlalu tinggi, boleh memberi kesan sebaliknya.
Kadar yang membebankan berpotensi mengurangkan kehadiran pelanggan ke kawasan perniagaan dan akhirnya menjejaskan peniaga tempatan.
Sehubungan itu, ADUN-ADUN Parti Warisan menegaskan bahawa pendekatan yang lebih seimbang perlu diambil oleh pihak Majlis Perbandaran Sandakan, termasuk menyemak semula kadar caj supaya lebih munasabah, melaksanakan sistem secara berperingkat dengan tempoh penyesuaian, serta memastikan ketelusan penuh dalam penggunaan hasil kutipan melalui laporan awam yang boleh diakses oleh rakyat.
Selain itu, ADUN-ADUN Parti Warisan turut menekankan kepentingan libat urus awam sebelum sesuatu dasar dilaksanakan, agar pandangan peniaga dan penduduk tempatan dapat diambil kira.
Akhir sekali, ADUN-ADUN Parti Warisan menggesa semua kaunselor MPS supaya memainkan peranan dengan lebih berani dan bertanggungjawab, bukan sekadar menjadi “rubber stamp” dalam mesyuarat.
Menurut ADUN-ADUN Parti Warisan, jawatan kaunselor menuntut keberanian untuk bersuara dan mempertahankan kepentingan rakyat, khususnya dalam isu yang melibatkan beban kewangan secara langsung. Rakyat Sandakan, tegas mereka, tidak menolak pembangunan, tetapi mereka menuntut dasar yang adil, telus dan benar-benar memberi manfaat kepada masyarakat keseluruhan.
