KOTA KINABALU: Perkembangan politik di Sabah ketika ini menyaksikan pelbagai perbincangan mengenai kemungkinan perubahan dalam struktur organisasi Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS).
Antara perkara yang diperkatakan ialah cadangan untuk menstruktur semula perlembagaan parti daripada sistem bahagian berasaskan kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) kepada sistem yang berasaskan kawasan Parlimen.
Perubahan ini dijangka dapat memperkukuhkan gerak kerja parti serta memudahkan penyelarasan kepimpinan di setiap kawasan Parlimen.
Sekiranya cadangan ini dilaksanakan pada pertengahan tahun seperti yang diperkatakan, ia akan membuka ruang kepada kepimpinan baharu di peringkat Parlimen.
Dalam konteks Parlimen P180 di Keningau, rata-rata pemerhati politik berpendapat Dato’ Dr. Victor Peter Paut merupakan antara pemimpin yang wajar dipertimbangkan untuk memegang jawatan sebagai Ketua Bahagian PGRS.
Hal ini tidak terlepas daripada rekod sumbangan beliau kepada masyarakat setempat sejak sekian lama. Walaupun berdepan pelbagai cabaran dalam arena politik, beliau masih terus aktif turun padang serta melibatkan diri dalam pelbagai program kebajikan dan pembangunan masyarakat.
Pendekatan ini menjadikan beliau antara pemimpin tempatan yang dekat dengan rakyat, khususnya di kawasan pedalaman.
Selain penglibatan dalam aktiviti kemasyarakatan, Dato’ Victor P. Paut juga mempunyai pengalaman luas dalam bidang pentadbiran dan korporat.
Beliau kini memegang jawatan sebagai Timbalan Pengerusi Sawit Kinabalu serta Borneo Samudera Sdn. Bhd., yang secara tidak langsung memberikan pengalaman kepimpinan dan pengurusan yang berguna dalam mengendalikan organisasi yang lebih besar.
Di kawasan pedalaman Sabah, faktor kepimpinan yang aktif dan konsisten memainkan peranan penting dalam meningkatkan keyakinan masyarakat terhadap sesebuah parti politik.
Oleh itu, sekiranya perubahan struktur PGRS kepada sistem Parlimen benar-benar dilaksanakan, pemilihan pemimpin yang mempunyai rekod perkhidmatan serta hubungan baik dengan rakyat adalah amat penting.
Dalam hal ini, Dato’ Victor P. Paut dilihat mempunyai kelebihan tersendiri untuk membantu memperkukuhkan pengaruh PGRS di Parlimen P180 Keningau.
Penglibatan aktif beliau dalam program kemasyarakatan serta komitmen terhadap pembangunan masyarakat setempat berpotensi membantu meningkatkan sokongan rakyat terhadap parti di kawasan tersebut.
