Tindakan kerajaan pusat fail permohonan tangguh keputusan mengecewakan

Kenyataan Datuk Dr Ronald Kiande Ahli Parlimen, BELURAN

KOTA KINABALU: Tindakan Kerajaan Persekutuan yang memfailkan permohonan menangguhkan pelaksanaan keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu berhubung tuntutan 40% hasil Sabah (stay of execution) mengecewakan. 

Sebelum ini Kerajaan Persekutuan menyatakan bahawa mereka tidak akan merayu keputusan Mahkamah Tinggi tersebut. Namun, pada saat-saat akhir, Kerajaan Persekutuan tetap memfailkan rayuan walaupun katanya rayuan terhadap alasan penghakiman. 

Begitu juga halnya dengan tanggungjawab memenuhi tuntutan 40% hasil Sabah, yang mana Kerajaan Persekutuan berjanji untuk menghormati tuntutan tersebut ini. Tetapi, sekali lagi rakyat Sabah dipermain-mainkan. 

Tindakan memohon penangguhan pelaksanaan keputusan ini menimbulkan persoalan besar tentang konsistensi dan keikhlasan Kerajaan Persekutuan dalam menghormati keputusan Mahkamah Tinggi, dan maruah rakyat Sabah.

Walau apapun alasan dan justifikasi yang diberikan untuk ‘mewajarkan’ permohonan stay ini, hakikatnya tindakan Kerajaan Persekutuan ini mempunyai kesan yang sama — iaitu melambatkan pelaksanaan keputusan Mahkamah Tinggi dan terus-menerus memperlekehkan hak Sabah dalam Persekutuan. 

Jika benar Kerajaan Persekutuan menghormati keputusan Mahkamah Tinggi dan peduli dengan rintihan rakyat Sabah, mengapa perlu menangguhkan pelaksanaannya?

Tindakan ini juga menimbulkan persoalan sama ada rundingan antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Sabah telah menemui jalan buntu sehingga Kerajaan Persekutuan memilih untuk memohon penangguhan di mahkamah.

Rakyat Sabah berhak mendapat penjelasan.

Hak Sabah yang dijamin oleh Perlembagaan tidak seharusnya dilayan sambil lewa, dan pematuhan pelaksanaannya tidak wajar ditangguhkan atau dilengah-lengahkan.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles