PPK Penampang adakan kunjungan hormat kepada presiden MPP

PENAMPANG: Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Penampang mengadakan kunjungan hormat kepada Presiden Majlis Perbandaraan Penampang (MPP), Puan Noemi Dyena Johntren, di pejabat MPP baru-baru ini.

Kunjungan hormat itu diketuai Pengerusi PPK Penampang,  Encik Alban Joanis @ Mansali bertujuan untuk mengukuhkan hubungan kerjasama strategik antara PPK Penampang dan pihak majlis, di samping membincangkan beberapa isu berkaitan operasi Kedai Peladang.

Antara perkara yang dibangkitkan ialah permohonan pemasangan awning dan pembinaan lantai konkrit simen, permohonan penyediaan parkir khas bagi tujuan memunggah karung beras untuk memudahkan urusan jual beli kepada pelanggan dan ahli peladang, cadangan kerja-kerja menurap konkrit simen di hadapan kedai bagi melancarkan operasi dan isu sistem pembetungan dan kumbahan di bahagian belakang Kedai Peladang yang memerlukan tindakan segera demi aspek kebersihan dan keceriaan kawasan.

Pihak MPP di bawah kepimpinan Puan Noemi telah menunjukkan komitmen serta keprihatinan terhadap perkara-perkara yang dibangkitkan.

Beliau memberi jaminan bahawa isu-isu tersebut akan diteliti melalui perbincangan bersama jabatan teknikal berkaitan.

Selain itu, pihak Pertubuhan juga akan dilibatkan sebagai ahli dalam Mesyuarat Tindakan Daerah bagi membantu mempercepatkan penyelesaian isu-isu yang berbangkit.

Kunjungan ini diharapkan dapat memperkukuh hubungan dua hala serta memastikan kelancaran operasi Kedai Peladang demi manfaat ahli dan komuniti setempat.

Turut hadir Pengurus Besar PPK Penampang, Encik Mohd Izmi bin Yahya Umpong, Timbalan Pengurus Besar PPK Penampang Encik Fadzly Edrus serta ahli-ahli Jemaah Pengarah PPK Penampang dan para pegawai kanan MPP.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles