Terus perkukuhkan ikatan ukhuwah: Matbali

BEAUFORT: Selaras usaha memperkukuh ikatan ukhuwah, Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Sipitang  dan pejabat Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) Lumadan mengadakan majlis berbuka puasa dan penyerahan sumbangan kepada masjid dan surau dalam kawasan DUN Lumadan, di Mukim Gadong, di sini pada Sabtu.

Sempena program itu, sebanyak 75 masjid dan surau di sekitar DUN Lumadan menerima sumbangan tunai daripada Ahli Parlimen Sipitang, Datuk Matbali Musah dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lumadan, Datuk Hj Ruslan Muharam.

Serentak itu, Matbali yang juga Pengerusi Pengelola Lembaga Koko Malaysia (LKM) merasmikan Dewan Terbuka Masjid Mukim Gadong yang kemudian diberi nama `Dewan Terbuka Al-Ukhuwah Mukim Gadong’.

Kira-kira 500 penduduk sekitar mukim berkenaan hadir pada majlis itu yang bermula seawal jam 4 petang. 

Sebelum berbuka puasa, Pegawai Hal-Ehwal Islam, Jabatan Hal-Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEANS) Kota Kinabalu, Mohd Ridzuan Kaplin menyampaikan tazkirah.

Ketika ditemui, Matbali berkata sumbangan yang disampaikan merupakan tanda keprihatinan dan sokongan kepada masjid dan surau di kawasan berkenaan sempena Ramadan Al-Mubarak.

“Saya bersama ADUN Lumadan, Datuk Ruslan Muharam telah menyampaikan sumbangan kepada 34 masjid dan 40 surau khususnya dalam bulan Ramadan.

“Ini merupakan kolaborasi atau kebersamaan saya bersama Datuk Ruslan. Ini adalah tanda sayang kami kepada pengurusan masjid dan surau sempena bulan Ramadan Al-Mubarak,” katanya.

Mengenai Dewan Terbuka Ukhuwah Masjid Mukim Gadong, Matbali berkata dewan bernilai RM250,000 itu merupakan hasil peruntukan yang diluluskan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof, tahun lalu.

Terdahulu dalam ucapannya, Matbali berharap rakyat terus memperkukuhkan ikatan persaudaraan dan ukhuwah antara satu sama lain, supaya agenda pembangunan dapat dilaksana dengan lancar.

Beliau memuji semangat dan dukungan penduduk Mukim Gadong yang menjayakan program berkenaan.

Sehubungan itu, katanya, program berorientasikan perpaduan dan kesatuan akan terus diperhebatkan.

Beliau bersyukur dengan kolaborasi bersama ADUN Lumadan, maka program sempena Ramadan itu berjaya dianjurkan.

Menurutnya, program seumpamanya iaitu menyantuni rakyat di peringkat akar-umbi juga sudah diadakan di kawasan DUN Sindumin, iaitu satu daripada dua DUN dalam Parlimen Sipitang.

Sementara itu, Ruslan yang juga Pembantu Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan dalam ucapannya mengajak umat Islam terus memanfaatkan kemuliaan Ramadan bagi memperkukuhkan jalinan silaturahim.

Pada masa sama, beliau turut berharap agar masjid dan surau di kawasan DUN Lumadan terus diimarahkan sempena bulan mulia ini.

“Kita harap agar kesatuan dan perpaduan rakyat terus diperkukuhkan,” katanya, sambil mengucapkan terima kasih kepada pengundi Lumadan yang memberikan sokongan kepadanya dalam Pilihan Raya Umum (PRU) Dewan Undangan (DU) Sabah yang lepas.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles