Kerajaan diseru laksana setiap kehendak perlembagaan, ambil iktibar isu Pemberian Khas Sabah

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Tuaran, datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau, menyeru Kerajaan Persekutuan supaya melaksanakan setiap kehendak Perlembagaan Persekutuan tanpa berlengah, khususnya dalam soal hubungan kewangan antara Persekutuan dan negeri.

=Mengikut Bilangan Orang (Geran Kapitasi) di Dewan Rakyat di sini hari ini, beliau menegaskan bahawa isu geran berkenaan menyentuh soal prinsip dan keadilan dalam sistem federalisme negara.

“Lebih dua dekad kadar Geran Kapitasi tidak disemak secara menyeluruh walaupun kos sara hidup meningkat, tanggungjawab negeri bertambah dan keperluan rakyat semakin kompleks.

“Sehubungan itu, saya menyokong agar semakan dibuat setiap 10 tahun selaras dengan banci penduduk,” katanya.

Madius yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tamparuli merujuk kepada Perkara 109 Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan Geran Kapitasi sebagai asas perkongsian kewangan antara Kerajaan Persekutuan dan negeri.

Katanya, peruntukan tersebut penting bagi memastikan setiap negeri mempunyai sumber minimum untuk mentadbir dan menyampaikan perkhidmatan kepada rakyat.

“Kadar sedia ada tidak lagi mencerminkan realiti semasa kerana tidak mengambil kira tekanan inflasi, pertambahan fungsi negeri dan peningkatan kos pentadbiran moden,” jelasnya.

Dalam pada itu, bekas Timbalan Ketua Menteri Sabah itu turut menggesa Kerajaan Persekutuan mengambil iktibar daripada kegagalan melaksanakan Pemberian Khas kepada Sabah dan Sarawak di bawah Perkara 112C dan 112D serta Jadual Kesepuluh Perlembagaan Persekutuan selama lebih 50 tahun, sehingga isu tersebut dibawa ke mahkamah untuk penguatkuasaan.

“Kerajaan Persekutuan hendaklah melaksanakan setiap kehendak Perlembagaan dan tidak lari daripada kewajipan serta tanggungjawabnya,” tegas beliau.

Menyentuh cadangan peningkatan kadar Geran Kapitasi kepada 25 peratus, Madius menyifatkannya sebagai langkah pembetulan terhadap ketidakseimbangan fiskal yang telah lama wujud.

Katanya, walaupun ada pandangan bahawa peningkatan itu memberi tekanan kepada kewangan Persekutuan, hakikatnya kekurangan dana di peringkat negeri boleh menyebabkan projek pembangunan tertangguh dan menimbulkan kos lebih besar dalam jangka panjang.

Beliau turut mencadangkan agar pada masa hadapan, penambahbaikan formula turut mengambil kira keluasan geografi, kos penyampaian perkhidmatan dan tahap pembangunan negeri.

Dalam perkembangan berkaitan, Madius merakamkan penghargaan kepada kerajaan kerana meletakkan Sabah sebagai penerima kedua tertinggi selepas Selangor dalam agihan geran berkenaan.

“Walau bagaimanapun, ramai Rakyat Sabah kurang berpuas hati dan tidak gembira kerana pemberian itu turut merangkumi “orang-orang Sabah jadian” yang telah mendapat kerakyatan melalui projek IC.

“Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) di Sabah pada 2012 telah mengesahkan kewujudan isu tersebut dan mengemukakan beberapa syor penyelesaian.

“Tuaran ingin bertanya kepada Kerajaan, mengapakah syor-syor RCI mengenai PATI di Sabah itu tidak dilaksanakan sehingga kini?

“Selain ancaman kepada kedaulatan negara ia juga menambah beban kerajaan yang terpaksa menampung perbelanjaan yang tidak perlu untuk golongan pemilik Projek IC ini. Ia juga satu ketidakadilan kepada rakyat Orang Asal Sabah,” tegas Presiden Kehormat UPKO itu lagi.

Bekas Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) itu turut menekankan komitmen untuk terus memperjuangkan hak dan kepentingan rakyat Sabah selagi isu-isu berkaitan keadilan perlembagaan dan hak negeri tidak diselesaikan secara tuntas.

“Jika adil kita pertahankan selalu, tapi kalau ada yang tidak betul, Tuaran bangkit untuk rakyat Sabah,” katanya.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles