KOTA KINABALU: Rakyat Sabah wajar menolak cadangan pewujudan konsulat India di Sabah, kata Pengerusi bersama ahli-ahli Persatuan Kebajikan Tamparuli (PETI) Gundohing Jaesman Gipin.
Menurutnya terdapat beberapa alasan yang perlu diambil kira sebelum cadangan itu direalisasikan.
Katanya ini termasuk tiada keperluan besar yang mewajarkan penubuhan konsulat India di negeri ini buat masa ini.
“Jumlah warga India di Sabah relatif kecil dan kebanyakannya sudah menjadi warga Malaysia…jadi keperluan mendesak buat masa ini,” katanya dalam hantaran terbaharu di media sosial.
Sebaliknya, Jaesman berkata keutamaan seharusnya diberikan kepada pewujudan konsulat Filipina di Sabah.
“Ini kerana Sabah memiliki jumlah warga Filipina yang besar dan memerlukan konsulat Filipina untuk menangani isu-isu seperti PATI (Pendatang Tanpa Izin) dan urusan lain,” katanya.
Beliau berkata rata-rata rakyat Sabah juga khuatir tentang isu keamanan dan ekonomi.
“Sebahagian rakyat Sabah khuatir bahawa konsulat India dapat meningkatkan kemasukan warga asing yang tidak terkendali, sekali gus mempengaruhi keamanan dan ekonomi lokal,” katanya.
Jaesman berkata keputusan pewujudan konsulat India di Sabah dianggap tidak transparen dan tidak melibatkan partisipasi rakyat Sabah.
“Rakyat Sabah tidak mahu kebanjiran warga India seperti apa yang berlaku di Tanah Melayu. Jika ada urusan ke India, rakyat Sabah boleh berurusan di konsulat India yang sedia ada di Tanah Melayu.
“Saya sebagai mantan pegawai Imigresen sedar bahawa jika 10 orang India masuk Sabah yang akan balik India mungkin hanya sebahagian, selebihnya mereka pasti akan bermastautin di Sabah dengan apa cara sekalipun untuk tujuan tertentu,” katanya.
Oleh itu Jaesman yang juga Penasihat Persatuan Kebajikan Prihatin (Pribumi Sabah) cawangan Tamparuli membantah keras pengujudan konsulat India di Sabah.
