ADUN Elopura lakukan lawatan susulan tangani aduan rakyat di Jalan Bukit

SANDAKAN – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Elopura, Calvin Chong telah mengadakan lawatan susulan ke Jalan Maktab (Batu 1 Setengah) bagi meninjau keadaan semasa kawasan tersebut susulan aduan yang diterima daripada orang awam berhubung pertumbuhan pokok-pokok liar dan rumpai yang semakin subur di sepanjang laluan berkenaan.

Hasil tinjauan mendapati keadaan tersebut bukan sahaja menjejaskan pemandangan persekitaran, malah berpotensi mengganggu penglihatan pemandu serta meningkatkan risiko kemalangan jalan raya, khususnya pada waktu malam dan ketika hujan. 

Keadaan ini turut menimbulkan kebimbangan dalam kalangan pengguna jalan raya yang sering menggunakan laluan tersebut sebagai jalan utama.

Sehubungan itu, perkara ini telah dimaklumkan kepada Majlis Perbandaran Sandakan (MPS) dan pihak MPS telah diminta untuk mengambil tindakan segera termasuk kerja-kerja pembersihan, pemotongan serta penebangan pokok-pokok liar yang berisiko. 

Tindakan ini penting bagi memastikan laluan tersebut berada dalam keadaan bersih, teratur dan selamat untuk semua pengguna.

Calvin Chong menegaskan bahawa aspek keselamatan dan keselesaan pengguna jalan raya sentiasa menjadi keutamaan, selaras dengan usaha berterusan untuk meningkatkan kualiti persekitaran serta kemudahan awam di kawasan N55 Elopura. Beliau turut berharap agar kerjasama berterusan antara wakil rakyat, pihak berkuasa tempatan dan komuniti setempat dapat diperkukuhkan demi kesejahteraan bersama.

Beliau juga mengalu-alukan orang awam untuk terus menyalurkan maklum balas serta aduan berkaitan isu-isu kemudahan awam agar tindakan susulan dapat diambil dengan lebih berkesan dan pantas.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles