Tindakan Pantas Tangani Insiden Paip Air Bawah Tanah Pecah di Bandar Prima, Sandakan

SANDAKAN: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N55 Elopura telah mengadakan lawatan ke lokasi kejadian paip air bawah tanah yang pecah di belakang Family Care Dr. Sanjay Clinic, Bandar Prima, sejurus menerima makluman berhubung gangguan bekalan air yang menjejaskan penduduk serta premis perniagaan di kawasan tersebut.

Lawatan ini bertujuan untuk meninjau sendiri keadaan di lapangan, mendapatkan penjelasan awal daripada pihak berkaitan serta memastikan langkah-langkah segera diambil bagi mengelakkan kerosakan menjadi lebih serius. 

Susulan kejadian tersebut, pihak berwajib telah mengambil keputusan untuk menutup sementara bekalan air pada malam Sabtu bagi membolehkan pemeriksaan terperinci dijalankan serta mengelakkan pembaziran air akibat kebocoran yang berterusan.

Seterusnya, laporan kerosakan lengkap telah disediakan dan diserahkan kepada pihak pengurusan pada hari Ahad, melibatkan penilaian teknikal serta cadangan pembaikan yang diperlukan. Laporan tersebut telah diluluskan pada hari yang sama, sekali gus membolehkan kerja-kerja pembaikan dilaksanakan tanpa sebarang kelewatan.

Kerja-kerja pembaikan paip air bawah tanah tersebut telah dimulakan seawal pagi hari Isnin oleh pasukan teknikal yang terlibat.

Setelah pembaikan selesai dilaksanakan dan pemeriksaan keselamatan dibuat, bekalan air telah dihidupkan semula dan kini telah pulih sepenuhnya, sekaligus mengembalikan bekalan air kepada penduduk serta premis di kawasan terjejas.

 ADUN N55 Elopura merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada pihak pengurusan, jabatan air serta semua agensi berkaitan atas kerjasama dan tindakan pantas yang diambil dalam menangani insiden ini. Tindakan segera ini membuktikan komitmen semua pihak dalam memastikan keperluan asas rakyat, khususnya bekalan air bersih, sentiasa diberi keutamaan.

ADUN N55 Elopura turut menegaskan bahawa pihaknya akan terus memantau perkembangan isu-isu berkaitan infrastruktur asas di kawasan N55 Elopura dan akan sentiasa berusaha memastikan sebarang aduan rakyat ditangani dengan cepat, berkesan dan berhemah demi kesejahteraan serta keselesaan penduduk.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles