MAGEBS cadang pengiktirafan sebagai institusi masyarakat berteraskan adat dan budaya Sabah

KOTA KINABALU: Gabungan Muafakat Persatuan Etnik Bumiputera Negeri Sabah (MAGEBS) hari ini menggariskan hala tuju baharu peranannya sebagai sebuah institusi masyarakat sivil (civil society institution) berteraskan adat, budaya dan nilai komuniti Bumiputera Sabah, melalui penganjuran Mesyuarat Khas Majlis Presiden MAGEBS Siri 1/2026 di Sabah International Convention Centre (SICC). 

Mesyuarat khas ini turut melibatkan Taklimat Khas MAGEBS kepada Datuk Ts. Mustapha @ Mohd Yunus bin Sakmud, Ahli Parlimen Sepanggar merangkap Menteri di Jabatan Perdana Menteri, yang dijemput bagi sesi suai kenal, dialog strategik dan penjajaran peranan antara kepimpinan persatuan etnik Sabah dengan kepimpinan nasional yang berasal dari Sabah. 

Menurut Yang Dipertua MAGEBS, Datuk Abdullah Sibil taklimat ini bertujuan untuk meletakkan MAGEBS secara jelas dan rasmi sebagai sebuah platform masyarakat sivil yang matang, berwibawa dan berasaskan adat serta budaya, selari dengan realiti kepelbagaian etnik dan struktur sosial unik negeri Sabah.

“MAGEBS bukan sebuah entiti politik, tetapi sebuah institusi masyarakat sivil yang berakar pada adat, budaya dan realiti komuniti Bumiputera Sabah. 

Kami melihat keperluan agar peranan ini diiktiraf dan difahami dengan lebih jelas, serta disokong melalui “kerjasama strategik yang tersusun dan berfokus,” katanya dalam satu kenyataan yang diedarkan kepada media.

Taklimat ini turut menekankan peranan MAGEBS sebagai jambatan strategik yang menyatukan suara persatuan etnik Bumiputera Sabah agar dapat disampaikan secara berfakta, berstruktur dan berterusan kepada pembuat dasar di peringkat nasional, khususnya dalam isu perpaduan dan keharmonian sosial, pemeliharaan adat dan identiti budaya, pembangunan komuniti luar bandar dan pedalaman serta pemerkasaan ekonomi komuniti berasaskan budaya dan warisan. 

Abdulah berkata, pendekatan ini selari dengan aspirasi agar pemimpin dari Sabah sendiri memainkan peranan aktif sebagai penghubung strategik dalam memperkukuh kedudukan dan sumbangan masyarakat Sabah di peringkat lebih luas. 

Katanya, sebagai salah satu program khusus dan unggulan MAGEBS, kepimpinan MAGEBS turut membentangkan cadangan penubuhan Pusat Perkampungan Budaya MAGEBS, yang dirangka sebagai platform pelaksanaan kepada misi pemeliharaan dan pemerkasaan budaya. 

Pusat ini dicadangkan untuk mendokumentasi dan memelihara warisan budaya serta bahasa etnik Bumiputera Sabah, menyediakan ruang pendidikan adat dan pemindahan ilmu antara generasi, memperkasa ekonomi komuniti melalui pelancongan budaya dan industri kreatif serta menjadi pusat rujukan, dialog dan jaringan budaya. 

Abdullah berkata, cadangan ini akan diurus dan dikendalikan sepenuhnya oleh MAGEBS melalui pendekatan community-led, inklusif dan mampan, serta diselaraskan dengan piawaian pemeliharaan warisan di peringkat nasional dan antarabangsa. 

MAGEBS menegaskan kesediaannya untuk bekerjasama secara profesional dan berprinsip dengan semua pihak berkepentingan demi memastikan adat, budaya dan keharmonian masyarakat Bumiputera Sabah terus dipelihara dalam arus pembangunan semasa. 

“Hasrat kami ialah untuk melihat MAGEBS diangkat sebagai rakan strategik masyarakat sivil yang menyumbang kepada kestabilan sosial, perpaduan dan pembangunan berteraskan identiti Sabah,” kata Abdullah.

Sementara itu, Mustapha menyeru MAGEBS untuk membantu kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri dalam memupuk hubungan yang lebih kukuh antara kumpulan etnik.

Beliau berlata, ia penting, kerana banyak isu yang timbul pada masa ini harus difahami dan ditangani bersama.

Beliau melahirkan keyakinan bahawa kerajaan persekutuan dan pejabatnya melalui Jabatan Perdana Menteri bagi Hal Ehwal Sabah dan Sarawak, dan kerajaan negeri sedang berusaha bersungguh-sungguh untuk melaksanakan peruntukan MA63.

“Bagaimanapun, kami sedar bahawa dalam mencapai persetujuan semasa rundingan ini, cabaran timbul dan rakyat semakin prihatin.

“Saya berharap MAGEBS dan presiden pelbagai kumpulan etnik dapat bekerjasama untuk membantu ahli mereka memahami bahawa sementara kita memperjuangkan hak kita, kita juga mempunyai tanggungjawab untuk memastikan persekutuan dan negeri kekal kukuh dan harmoni.

“Kita tidak mahu ketegangan meningkat disebabkan isu-isu ini, menyebabkan pergeseran antara kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri, atau dalam kalangan NGO (pertubuhan bukan kerajaan) dalam negeri,” tambahnya sambil menggesa MAGEBS dan ketua kumpulan etnik memainkan peranan mereka dalam mengekalkan keharmonian dan menyokong pembangunan negara yang berterusan.

Mustapha turut mengumumkan peruntukan RM50,000 daripada Jabatan Perdana Menteri bagi menghargai dan membantu MAGEBS dari segi pengurusan dan pentadbiran.

Gabungan MAGEBS menghimpunkan 36 persatuan etnik Bumiputera utama dan subetnik di Sabah di bawah satu platform muafakat sejak didaftarkan dalam tahun 2017.

Antaranya, Bajau Sama, Idahan, Lotud, Tatana, Sungai, Sonsogon, Kimaragang, Dumpas, Milian, Cocos, Tindal, Buludupi, Sukang, Lundayeh, Kadayan, Banjar, Brunei, Murut, Iranun, Rungus, Bugis, Tidung, Tombonuo, Bajau-Suluk, Bundu, Lun Bawang, Dumpas, Tobilung, Sukang, Liwan, Bisaya, dan Murut Paluan dalam satu struktur muafakat yang berfungsi secara kolektif.

Turut hadir Timbalan Yang Dipertua 1 MAGEBS, Dato Juhari Janan; Timbalan Yang Dipertua 2 MAGEBS, Datuk Mohd Yusof Kassim dan Setiausaha Agung MAGEBS, Mohammad Zikrun.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles