Kemasukan Awal Darjah Satu: Menilai Dasar dari Perspektif Pendidikan Awal Kanak-Kanak di Sabah

Oleh : Dr. Juppri Bacotang
Pensyarah Kanan
Program Pendidikan Awal Kanak-Kanak
Fakulti Pendidikan dan Pengajian Sukan
Universiti Malaysia Sabah

Dasar yang membenarkan kanak-kanak berumur enam tahun memasuki Darjah Satu secara sukarela mulai tahun 2027 seperti yang digariskan dalam Rancangan Pendidikan Negara 2026–2035 wajar dinilai secara menyeluruh agar pelaksanaannya benar-benar menyokong perkembangan kanak-kanak secara holistik, khususnya dalam konteks pendidikan awal kanak-kanak (PAKK) di Sabah.

Sebagai Pensyarah Kanan, Program Pendidikan Awal Kanak-Kanak di Fakulti Pendidikan dan Pengajian Sukan, Universiti Malaysia Sabah (UMS), saya melihat dasar ini sebagai satu inisiatif yang berpotensi memberi manfaat dan memperkasakan pendidikan kanak-kanak berumur enam tahun ke arah yang lebih seragam dan berkualiti. Namun begitu, pelaksanaannya perlu ditangani secara berhati-hati agar tidak mewujudkan ketidaksaksamaan baharu dalam sistem pendidikan negara.

Realitinya, tahap kesediaan kanak-kanak di Sabah amat tidak seimbang. Masih terdapat kanak-kanak di kawasan luar bandar dan pedalaman yang tidak mempunyai akses kepada pendidikan prasekolah berkualiti, malah ada yang langsung tidak mengikuti pendidikan awal formal sebelum melangkah ke alam persekolahan. Dalam keadaan ini, peluang kemasukan awal ke Darjah Satu berisiko lebih memihak kepada kanak-kanak di kawasan bandar dan separa bandar yang telah menerima rangsangan akademik dan sosioemosi sejak awal.

Dalam pada itu, kemasukan awal ke Darjah Satu tidak seharusnya membawa kepada pemendekan fasa PAKK atau penekanan berlebihan terhadap pencapaian akademik. Pendidikan awal bukan sekadar menyediakan asas akademik, malah memainkan peranan penting dalam membentuk karakter kanak-kanak seperti disiplin kendiri, empati, kerjasama, keyakinan diri dan nilai murni.

Konsep “sukarela” dalam dasar ini juga perlu diperjelaskan agar tidak disalah tafsir oleh ibu bapa sebagai satu keperluan atau penanda aras kecerdasan anak. Keputusan memasuki Darjah Satu seawal usia enam tahun seharusnya dibuat berdasarkan penilaian kesediaan yang holistik, merangkumi aspek kognitif, emosi, sosial dan fizikal, bukan semata-mata keupayaan membaca, menulis atau mengira.

Oleh itu, kemasukan awal ke Darjah Satu perlu disokong oleh pendekatan pedagogi yang menekankan pembangunan sahsiah seiring dengan perkembangan kognitif. Pendekatan learning through play wajar terus menjadi teras, kerana kaedah ini memberi ruang kepada kanak-kanak untuk belajar melalui interaksi, penerokaan, pengalaman bermakna, dan pembelajaran menyeronokkan. Pembelajaran melalui bermain bukan sekadar aktiviti sampingan, tetapi satu kaedah berasaskan bukti yang menyokong perkembangan kognitif, sosial, emosi dan fizikal kanak-kanak secara holistik.

Selain itu, kurikulum bagi kanak-kanak berumur enam tahun perlu benar-benar sesuai dengan tahap perkembangan mereka. Kandungan pembelajaran, kaedah pengajaran dan pentaksiran hendaklah bersifat fleksibel, berfokus kepada pembelajaran berasaskan pengalaman serta pembentukan sikap positif terhadap pembelajaran, bukan semata-mata pencapaian akademik awal.

Namun, banyak sekolah luar bandar dan pedalaman di Sabah masih berdepan kekangan dari segi bilangan guru terlatih, kemudahan pembelajaran dan sokongan profesional. Tanpa persediaan rapi, murid yang lebih muda berisiko berdepan tekanan emosi, keletihan pembelajaran dan ketidakselesaan dalam persekitaran formal.

Pelaksanaan dasar ini menimbulkan persoalan besar berkaitan kesiapsiagaan sekolah, khususnya dari segi bilangan guru dan kemudahan kelas. Peningkatan enrolmen murid ke Darjah Satu secara langsung menuntut penambahan guru yang terlatih dalam PAKK, serta pembukaan kelas baharu bagi mengelakkan saiz kelas yang terlalu besar. Tanpa penambahan ini, guru berisiko dibebani dengan nisbah murid-guru yang tidak ideal, sekali gus menjejaskan kualiti pengajaran dan perhatian individu kepada murid yang lebih muda dan memerlukan sokongan intensif.

Sebagai contoh, terdapat sekolah pedalaman yang hanya mempunyai satu atau dua kelas Darjah Satu dengan seorang guru mengendalikan murid pelbagai tahap kebolehan dan kematangan. Kemasukan murid berusia enam tahun yang memerlukan perhatian lebih rapi, sokongan emosi dan pendekatan pembelajaran berasaskan bermain akan menambah beban guru sekiranya tiada pengurangan nisbah murid-guru. Dalam keadaan ini, murid yang lebih muda berisiko tercicir secara senyap, bukan kerana kurang potensi, tetapi kerana sistem tidak mampu memenuhi keperluan perkembangan mereka.

Implikasi kos daripada pelaksanaan dasar ini juga perlu dilihat secara realistik dan tidak boleh dipandang ringan. Peruntukan kewangan diperlukan bukan sahaja untuk pengambilan guru baharu, tetapi juga bagi penyediaan infrastruktur fizikal, bahan pengajaran yang bersesuaian dengan kanak-kanak berumur enam tahun, serta latihan profesional berterusan untuk guru sedia ada. Sekiranya perancangan kewangan tidak dibuat secara teliti, wujud risiko bahawa dasar ini dilaksanakan secara tergesa-gesa tanpa sokongan sumber yang mencukupi, khususnya di sekolah luar bandar dan pedalaman di Sabah yang sememangnya berdepan dengan pelbagai kekangan.

Dalam konteks ini, pelaburan kerajaan dalam pendidikan awal perlu dilihat sebagai pelaburan jangka panjang, bukan kos semata-mata. Penyelidikan pendidikan menunjukkan bahawa pelaburan pada peringkat awal kanak-kanak memberi pulangan sosial dan ekonomi yang tinggi melalui pengurangan masalah keciciran, peningkatan pencapaian pendidikan serta pembentukan modal insan yang berkualiti.

Sehubungan itu, sebelum dasar ini dilaksanakan secara meluas, kementerian perlu memastikan peluasan akses pendidikan prasekolah berkualiti di Sabah terutamanya di kawasan luar bandar dan pedalaman, menyediakan garis panduan penilaian yang sensitif terhadap konteks setempat, memperkukuh latihan guru dalam PAKK, serta penambahan guru baharu dan kemudahan infrastruktur yang mencukupi.

Dalam menyokong keperluan dasar ini, institusi pendidikan tinggi seperti UMS mampu menyediakan graduan guru PAKK yang berkualiti, berpengetahuan dan memahami realiti pendidikan di Sabah, termasuk di luar bandar dan di pedalaman. UMS juga mampu menawarkan latihan professional berterusan berkaitan PAKK kepada guru sedia ada. Kerjasama strategik antara kementerian dan universiti awam amat penting bagi memastikan keperluan guru yang mencukupi dan kompeten seiring dengan pelaksanaan dasar ini.

Kesimpulannya, dasar kemasukan awal ke Darjah Satu berpotensi menjadi satu langkah strategik dalam memperkukuh PAKK di Malaysia, termasuk di Sabah, sekiranya pelaksanaannya disokong oleh perancangan sumber manusia, peruntukan kewangan yang mencukupi serta komitmen jangka panjang terhadap kesejahteraan dan perkembangan kanak-kanak. Pendidikan awal bukan satu perlumbaan akademik, tetapi satu proses pembentukan asas perkembangan kanak-kanak yang memerlukan kebijaksanaan dan keseimbangan.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles