TENOM: Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan, Datuk Jamawi Jaafar mengadakan lawatan kerja ke Pusat Pengumpulan dan Pembelian Hasil Pertanian Tenom yang diuruskan oleh Koperasi Pembangunan Desa (KPD) di sini, hari ini.
Lawatan tersebut bertujuan meninjau perkembangan projek Fasa 1 yang kini telah siap 85 peratus dan akan memudahkan pekebun dan petani di Tenom, Kemabong, dan Melalap memasarkan hasil kebun mereka.
Jamawi turut mengumumkan perancangan projek Fasa 2, iaitu pembinaan pusat pemprosesan hasil pertanian di sebelah bangunan sedia ada pada pertengahan tahun ini.
Menurut beliau, pusat pemprosesan tersebut akan memproses buah dan hasil pertanian yang kurang kualiti luaran menjadi makanan kering atau produk pertanian bernilai tambah. Ia juga berperanan untuk mengurus lebihan hasil pertanian bagi memastikan tiada pembaziran berlaku.
Beliau merakamkan penghargaan kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor atas kelulusan peruntukan bagi projek itu.
Jamawi diberikan taklimat oleh Timbalan Pengurus Besar (Operasi) APCC, Andree Funk mengenai operasi dan kemajuan projek semasa.
Beliau juga mengalu-alukan input daripada pemain industri tempatan, termasuk Persatuan Penanam Buah-buahan Tropika, mengenai mesin dan peralatan yang diperlukan bagi kegunaan bersama.
“Kita akan bekerjasama dengan semua agensi bagi memastikan sekurang-kurangnya ada satu pusat pengumpulan di setiap kawasan Parlimen untuk kemudahan masyarakat luar bandar,” kata beliau.
Di bawah KPD, terdapat 14 pusat pengumpulan, manakala Jabatan Pertanian pula mengurus lebih 10 pusat pengumpulan lain di negeri ini.
Dalam program berasingan, Jamawi turut menghadiri Mesyuarat pertama Jawatankuasa Pembangunan Pertanian Daerah Tenom. Beliau menerima penerangan daripada Pegawai Pertanian Kanan Pejabat Pertanian Tenom, Ts. Mohammad Fauzi Abdul Gulam.
Beliau juga melawat tapak padi satelit di kawasan itu.
Turut hadir ialah Ketua Daerah DUN Melalap, OKK Tusib Tulas; Pemimpin Pembangunan Masyarakat Melalap, Denesly Justin; Presiden Persatuan Penanam Buah-buahan Tropika Tenom, Gerald Baxter; serta beberapa Kapitan Cina.
