Oleh Gaim James Lunkapis
KOTA KINABALU: Pemerhatian peribadi saya terhadap ketegangan berterusan antara Petronas dan Kerajaan Sarawak dalam isu kawalan minyak dan gas (O&G) mempunyai persamaan yang sangat jelas dengan tuntutan Sabah terhadap Kerajaan Persekutuan Madani berhubung hak 40% hasil bersih di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Kedua-dua isu ini bukan sekadar pertikaian fiskal atau teknikal pentadbiran, sebaliknya berpunca daripada luka sejarah dan perlembagaan yang belum sembuh sejak pembentukan Persekutuan Malaysia.
Di terasnya, kedua-dua Sarawak dan Sabah merasakan bahawa janji autonomi, hak hasil, serta kedudukan istimewa sebagai rakan pengasas Persekutuan telah semakin terhakis oleh proses pemusatan kuasa di peringkat Persekutuan.
Dalam kes Sarawak, tuntutan terhadap pemilikan dan kuasa kawal selia O&G bersandarkan undang-undang pra-1974, khususnya sebelum penggubalan Akta Pembangunan Petroleum 1974 (PDA). Sarawak melihat PDA sebagai undang-undang Persekutuan yang secara sepihak merampas hak negeri ke atas sumber asli strategik, tanpa persetujuan bermakna daripada negeri pengeluar.
Sabah pula menghadapi naratif yang hampir serupa melalui tuntutan 40% hasil bersih Persekutuan yang termaktub dalam MA63 dan Perkara 112C serta 112D Perlembagaan Persekutuan. Walaupun prinsipnya telah diakui secara politik, pelaksanaannya terus tertangguh akibat tafsiran berubah-ubah, formula yang tidak telus, serta pendekatan teknokratik yang dilihat melemahkan semangat perjanjian asal.
Ini mengukuhkan persepsi bahawa Sabah bukan sekadar “negeri” dalam struktur Persekutuan, tetapi rakan yang haknya sering dinegosiasi semula secara tidak seimbang.
Dari sudut politik, kedua-dua pertikaian ini menguji kesungguhan Kerajaan Madani dalam melaksanakan agenda reformasi dan federalisme sebenar. Retorik tentang keadilan wilayah dan kesaksamaan Persekutuan–Negeri akan kehilangan kredibiliti sekiranya isu asas seperti O&G Sarawak dan 40% Sabah terus diselesaikan secara ad hoc atau kosmetik.
Pada masa yang sama, realiti aritmetik Parlimen telah meningkatkan kuasa tawar-menawar politik Borneo, sekali gus menyuburkan nasionalisme wilayah dan kesedaran politik bahawa suara Sabah dan Sarawak tidak lagi boleh diketepikan.
Dari sudut ekonomi dan pembangunan, konflik ini menyerlahkan paradoks struktur negara: negeri-negeri yang kaya sumber asli kekal ketinggalan dari segi infrastruktur asas, kemiskinan relatif, dan pembangunan modal insan. Selagi hasil tidak diagihkan secara adil dan autonomi fiskal tidak diperkasakan, ketidakseimbangan wilayah akan terus menjadi bom jangka panjang kepada kestabilan Persekutuan.
Secara kolektif, pertikaian Petronas–Sarawak dan MA63–Sabah menandakan satu fasa penentukuran semula hubungan pusat–negeri. Malaysia berada di persimpangan sama ada bergerak ke arah federalisme yang lebih matang, berunding dan berasaskan perlembagaan atau berisiko memperdalam jurang kepercayaan dan rasa terasing di Wilayah Malaysia Borneo.
Satu dimensi penting yang wajar ditambah dalam perbincangan ini ialah hakikat bahawa perbezaan tafsiran undang-undang dan perlembagaan antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri mesti dirapatkan, tidak seharusnya dibiarkan berlarutan sehingga menjadi konflik politik dan institusi.
Tanpa penyelarasan tafsiran, sebarang rundingan fiskal atau autonomi akan sentiasa terperangkap dalam pertikaian asas yang sama.
Sebagai contoh, tafsiran yang dikemukakan oleh YB Datuk Seri Azalina Othman Said, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), secara tidak langsung telah menegaskan bahawa di bawah Perlembagaan Persekutuan, khususnya Senarai Negeri dalam Jadual Kesembilan, hal ehwal tanah dan air terletak secara jelas di bawah bidang kuasa mutlak negeri.
Kenyataan ini konsisten dengan struktur persekutuan Malaysia yang meletakkan pengurusan tanah, hutan, sungai dan sumber air sebagai prerogatif kerajaan negeri, tanpa campur tangan langsung Persekutuan kecuali dalam keadaan tertentu yang diperuntukkan oleh undang-undang.
Selari dengan itu, penjelasan yang diberikan oleh ADUN dilantik YB Datuk Roger Chin yang merujuk kepada konteks MA63 dan kedudukan Sabah sebagai rakan pengasas Persekutuan telah memperkukuhkan kefahaman bahawa hak negeri ke atas tanah dan air bukan isu pentadbiran semata-mata, tetapi hak perlembagaan yang telah dipersetujui sejak awal pembentukan Malaysia.
Penegasan ini memberi gambaran jelas bahawa apa-apa aktiviti ekonomi, termasuk minyak, gas, empangan, hidroelektrik atau pembangunan sumber asli, tidak boleh dipisahkan daripada hak negeri ke atas tanah dan air yang menjadi tapaknya.
Namun, konflik timbul apabila undang-undang Persekutuan seperti Akta Pembangunan Petroleum 1974 atau pendekatan fiskal Persekutuan ditafsir dan dilaksanakan seolah-olah mengatasi hak negeri, tanpa penyelarasan perlembagaan yang tuntas. Inilah jurang tafsiran yang menjadi punca ketegangan berpanjangan antara Petronas–Sarawak dan Persekutuan–Sabah. Bukan kerana Perlembagaan tidak jelas, tetapi kerana pendekatan pemusatan kuasa telah mengaburkan semangat federalisme yang sebenar.
Dari sudut tadbir urus, kegagalan merapatkan tafsiran ini membawa implikasi besar. Ia mewujudkan ketidakpastian pelaburan, konflik bidang kuasa, serta persepsi bahawa Persekutuan bersikap selektif dalam menghormati peruntukan perlembagaan apabila berdepan negeri-negeri kaya sumber.
Lebih membimbangkan, ia menghakis kepercayaan rakyat Sabah dan Sarawak terhadap institusi Persekutuan, walaupun isu ini sebenarnya boleh diselesaikan melalui mekanisme perlembagaan sedia ada.
