KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Panglima Madius Tangau meminta Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) memperincikan langkah-langkah khusus Kerajaan Persekutuan dalam membantu mencapai sasaran 20 peratus sumbangan industri pembuatan kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Sabah.
Beliau mengemukakan pertanyaan lisan itu pada sidang Dewan Rakyat di sini pada Selasa, dengan menekankan keperluan pendekatan yang lebih tersusun dan berimpak tinggi bagi memacu pertumbuhan sektor pembuatan di Sabah.
Menjawab soalan tersebut dalam satu jawapan bertulis, Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) memaklumkan Sabah mempunyai kelebihan besar dari segi sumber asli seperti minyak dan gas, balak, mineral serta minyak sawit, yang boleh dimanfaatkan secara lebih optimum melalui pembangunan aktiviti pembuatan hiliran.
Ujar MITI, menerusi Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (New Industrial Master Plan – NIMP 2030), Kerajaan Persekutuan telah menggariskan strategi bagi menggalakkan pelaburan dalam aktiviti hiliran berasaskan sumber asli tempatan bagi meningkatkan nilai tambah ekonomi negeri-negeri, termasuk Sabah.
“Misi Keempat NIMP 2030 memberi penekanan kepada jaminan sekuriti ekonomi dan keterangkuman, dengan memastikan penyertaan yang lebih saksama dalam sektor pembuatan.
“Pelaksanaannya tidak tertumpu di kawasan tertentu sahaja, sebaliknya merangkumi pembangunan menyeluruh merentasi kluster ekonomi sedia ada dan baharu.”
Menurut MITI, pelaksanaan NIMP 2030 turut menyokong projek merentasi 21 sektor yang dikenal pasti, termasuk sektor pertumbuhan baharu seperti kenderaan elektrik (EV), bahan termaju, pemerangkapan, penggunaan dan penyimpanan karbon (CCUS) serta tenaga boleh baharu.
Dalam masa sama, Kerajaan Persekutuan bersedia mengadakan sesi libat urus berterusan dengan Kerajaan Negeri bagi memastikan strategi pembangunan di peringkat persekutuan dan negeri dapat diselaraskan, selain memanfaatkan kekuatan serta keupayaan tempatan untuk membuka potensi pertumbuhan ekonomi.
Dari segi prestasi pelaburan, kementerian itu memaklumkan bahawa sektor pembuatan di Sabah menunjukkan pencapaian memberangsangkan bagi tempoh 2020 hingga September 2025, dengan 101 projek pembuatan direkodkan melibatkan nilai pelaburan keseluruhan RM36.72 bilion.
“Pada tahun 2025 sahaja, sehingga suku ketiga, sebanyak 16 projek pembuatan telah diluluskan dengan nilai pelaburan RM7.54 bilion dan mewujudkan 1,728 peluang pekerjaan.
“Menurut data terperinci tahun 2025, aktiviti pembuatan di Sabah dipacu oleh industri berat, dengan sub-sektor produk logam asas mencatatkan pelaburan tertinggi bernilai RM6.59 bilion, diikuti peralatan pengangkutan sebanyak RM586.3 juta dan kimia serta produk kimia bernilai RM140.4 juta.
“Sabah juga terus menarik minat pelabur asing, khususnya dari Asia Timur dan ASEAN. Bagi tempoh 2020 hingga 2024, China muncul sebagai pelabur terbesar dengan RM8.5 bilion, diikuti Republik Korea sebanyak RM4.37 bilion. Momentum itu diteruskan pada 2025 apabila Singapura menjadi pelabur utama dengan komitmen RM6.59 bilion,” tambah MITI.
Bagi menyokong pertumbuhan sektor pembuatan, Kerajaan Persekutuan turut memberi tumpuan kepada pembangunan prasarana moden, termasuk menaik taraf jalan raya, bekalan elektrik dan air bersih di Sabah dengan peruntukan pembangunan berjumlah RM6.9 bilion pada tahun 2025.
Antara projek utama ialah penaiktarafan Pelabuhan Kontena Teluk Sapangar yang dijangka siap pada 2027, sekali gus meningkatkan kapasiti tahunan daripada 500,000 TEU kepada 1.25 juta TEU serta memperkukuh kecekapan logistik industri.
Selain itu, Kerajaan turut memacu pelaburan berkualiti dan strategik dengan menyasarkan sektor minyak dan gas, produk hijau, tenaga boleh baharu serta ekonomi biru, termasuk pembangunan hiliran berteknologi tinggi di Kluster Perindustrian Minyak Sawit (POIC) Lahad Datu.
Dalam aspek insentif, Kerangka Insentif Pelaburan Baharu (NIIF) yang akan dilaksanakan sepenuhnya pada suku pertama 2026 dijangka menjadi pemangkin utama, dengan pemberian insentif dinilai berdasarkan keberhasilan sebenar seperti penciptaan pekerjaan berkualiti, pemindahan teknologi dan pembangunan rantaian bekalan tempatan.
“Kejayaan meningkatkan sumbangan sektor pembuatan kepada KDNK Sabah bergantung kepada kerjasama erat antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri, termasuk usaha membangunkan modal insan tempatan melalui kerjasama industri dan institusi pengajian tinggi.
“Pendekatan menyeluruh ini bertujuan mentransformasikan Sabah sebagai hab pembuatan hiliran dan tenaga boleh baharu yang kompetitif, seterusnya menyumbang secara signifikan kepada pertumbuhan ekonomi negeri dan negara,” jelas kementerian itu lagi.
