Tawau tanah paling subur, berpotensi jadi hab pertanian Sabah

TAWAU: Tawau mempunyai potensi besar untuk muncul sebagai kawasan pertanian utama di Sabah berikutan kesuburan tanahnya yang diiktiraf antara terbaik di negeri ini, kata Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan, Datuk Jamawi Jaafar.

Menurut beliau, Tawau menduduki tempat pertama sebagai kawasan paling subur di Sabah, diikuti Tenom, sekali gus memberi kelebihan besar kepada pembangunan sektor pertanian berasaskan teknologi dan inovasi.

“Untuk makluman, tanah yang paling subur di Sabah yang pertama adalah Tawau dan kedua Tenom. Dengan perkembangan teknologi serta penggunaan bahan tanaman baharu, kita yakin sektor pertanian di Tawau dan Sabah akan terus berkembang,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Pameran Pertanian dan Akuakultur Tawau 2026 (TAAE 2026) di Dewan Masyarakat Tawau, di sini, kelmarin.

Pameran yang berlangsung dari 23 hingga 25 Januari itu melibatkan penyertaan sebanyak 50 gerai, sekali gus menjadi platform penting mempamerkan teknologi, inovasi dan produk baharu dalam sektor pertanian dan perikanan di daerah ini.

Jamawi berkata, pameran berkenaan menampilkan pelbagai teknologi terkini berkaitan pertanian dan perikanan, selain produk makanan baharu yang dihasilkan hasil bimbingan kementeriannya serta Kementerian Perindustrian dan Keusahawanan.

“Hari ini kita merasmikan pameran pertanian dan akuakultur untuk Parlimen Tawau dengan penyertaan 50 gerai yang kebanyakannya mempamerkan teknologi serta perkembangan terkini dalam bidang pertanian dan perikanan,” katanya.

Menurut beliau, pameran itu turut membuka ruang kepada usahawan tempatan untuk memperkenalkan produk baharu yang dihasilkan menerusi sokongan dan program bimbingan agensi kerajaan.

“Saya ucapkan tahniah kepada semua usahawan dan penggiat industri pertanian serta perikanan di Tawau kerana berkongsi kejayaan, produk baharu dan teknologi yang dihasilkan di kawasan ini,” katanya.

Dalam pada itu, Jamawi turut menekankan potensi tanaman baharu khususnya varieti avokado QAV1 yang kini dikenali sebagai Avocado Quoin Sabah, hasil penyelidikan Stesen Penyelidikan Pertanian Quoin Hill, Tawau.

“Varieti ini dahulunya dikenali sebagai QAV1 dan mulai Ogos tahun lalu, kita namakan semula sebagai Avocado Quoin Sabah untuk dipromosikan di bawah Jabatan Pertanian,” katanya.

Beliau berkata, avokado varieti berkenaan mempunyai kualiti setanding, malah lebih baik berbanding varieti import dari luar negara, sekali gus mempunyai potensi besar untuk pasaran eksport.

“Hasilnya berkualiti, rasanya lemak, manis dan berkrim dengan purata saiz sekitar 500 gram sebiji. Tempoh masaknya kira-kira seminggu selepas dituai dan sesuai untuk pasaran eksport kerana boleh disimpan lebih lama,” katanya.

Jamawi berkata, permintaan terhadap avokado dan nanas MD2 dari Sabah semakin meningkat, namun bekalan semasa masih belum mampu memenuhi keperluan pasaran.

“Baru-baru ini sebuah syarikat memohon satu kontena avokado sebulan dan lima kontena nanas MD2, tetapi setakat ini Sabah hanya mampu mengeluarkan sekitar dua kontena sebulan,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata, Jabatan Pertanian menyediakan benih serta bahan tanaman bagi membantu petani dan menggalakkan lebih ramai masyarakat terlibat dalam sektor pertanian, termasuk melalui pelaksanaan Inisiatif Kebun Dapur.

“Bagi mereka yang belum bermula, mulakan secara kecil-kecilan melalui Inisiatif Kebun Dapur yang akan dilancarkan pada 15 Februari ini, lengkap dengan pakej memulakan aktiviti pertanian di sekitar rumah,” katanya.

Beliau berkata, selepas yakin dengan potensi pulangan, petani boleh memohon bantuan penuh daripada Jabatan Pertanian dan agensi berkaitan.

Jamawi berkata, walaupun varieti avokado QAV-1 berasal dari Tawau, keluasan tanaman di daerah itu masih rendah, iaitu kurang daripada 10 hektar berbanding Keningau dan Tenom yang mencatatkan keluasan lebih besar.

“Kita menggalakkan lebih ramai masyarakat di Tawau menanam avokado QAV-1 kerana kesesuaiannya memang di kawasan ini,” katanya.

Beliau turut menasihatkan petani supaya memilih varieti tanaman yang memenuhi keperluan pasaran bagi mengelakkan kerugian, sambil menegaskan sasaran penanaman 50,000 pokok avokado bagi memenuhi keperluan pasaran eksport.

“Sekarang kita belum mampu memenuhi permintaan kerana kekurangan tanaman, sebab itu promosi dan sokongan Jabatan Pertanian terus dipertingkatkan,” katanya.

Menurutnya, semua jabatan dan agensi di bawah kementerian akan digerakkan untuk mempromosikan inisiatif pertanian di setiap daerah dan Parlimen bagi memperkukuh lagi sektor pertanian Sabah secara menyeluruh.

Turut hadir Ahli Parlimen Kalabakan, Datuk Andi Muhammad Suryady Bandy; Setiausaha Tetap MAFFI, Datuk Leonard Stephen Poyong dan wakil kepada Presiden Majlis Perbandaran Tawau, Disah Dulamit, Pengerusi Penganjur TAAE yang juga Pengurus Besar Impact Zone Sdn Bhd, Benjamin Lo, serta beberapa Pengurus Besar setiap Jabatan. 

Jamawi juga telah mengadakan lawatan ke Sakinah Aquaculture Sdn Bhd, Wanfah Prosper, membuat tinjauan ke projek di bawah Sabah Urban Development Corporation Sdn. Bhd (SUDC) dan ke SSPE, kilang memproses rumpai laut. 

Related Articles

253FansLike

Latest Articles