MP Sipitang kecewa projek jajaran Lebuh  Raya Pan Borneo Sabah ‘tidak berpenghujung’

KUALA LUMPUR: Anggota Parlimen Sipitang Datuk Matbali Musah menyuarakan kekecewan terhadap prestasi projek jajaran Lebuh Raya Pan Borneo Sabah yang menurutnya seolah-olah “tidak berpenghujung”. 

Sambil mengumpamakan kelewatan pelaksanaan projek itu sebagai satu kisah penantian, beliau berkata lebuh raya itu sepatutnya menjadi nadi kemajuan untuk negeri Sabah.

“Namun hari ini ia menjadi kisah penantian; tidak siap-siap, tersangkut-sangkut, lencong sana-sini, lubang-lubang ditampal-tampal, seperti luka lama yang hanya disapukan bedak, bukan dirawat hingga sembuh.

“Ada pakej yang telah dianugerahkan tetapi belum bergerak, ada yang telah bermula tetapi belum berakhir, dan lebih menyedihkan, ada pula pakej yang belum beraward, seolah-olah masa di Sabah berjalan lebih perlahan daripada pusingan jarum jam di tempat lain,” katanya.

Matbali berkata demikian ketika membahaskan Titah Diraja di Dewan Rakyat hari ini.

Sebagai perbandingan, katanya, projek lebuh raya Pan Borneo Sarawak yang dimulakan pada tahun yang sama kini sudah siap, khususnya jalan dari Teluk Melano hingga ke Lawas, sekali gus menjadi kebanggaan rakyat negeri jiran itu.

“Oleh itu, sebagai Ahli Parlimen Sipitang, saya ingin mendapatkan penjelasan khusus mengenai status terkini di kawasan saya, iaitu jajaran Sipitang–Beaufort, melibatkan WP01 Sindumin–Melalia dan WP02 Melalia–Beaufort, yang menjadi urat nadi kehidupan harian rakyat yang saya wakili,” katanya.

Seperti yang dijangka, Matbali turut membangkitkan banjir yang sering berlaku, khususnya di daerah Beaufort.

Beliau berkata sepanjang tahun lalu sahaja, enam kejadian besar direkodkan, melibatkan ribuan penduduk yang terpaksa dipindahkan.

“Justeru itu, pengurusan bencana banjir perlu diberi keutamaan, bermula dengan penambahbaikan capaian internet di Pusat Pemindahan Kekal dan Sementara, serta akses jalan keluar masuk orang kampung ke pusat berkenaan.

“Masalah kekurangan kenderaan untuk pendaftaran mangsa di luar PPS serta kekurangan sukarelawan turut membebankan pengurusan bencana, dan perkara ini wajar diberi perhatian serius oleh pihak berkuasa,” katanya.

Matbali juga berharap kemudahan WiFi dengan kelajuan stabil dapat disediakan melalui penaiktarafan menara telekomunikasi Maxis, Celcom dan pengendali lain, agar komunikasi tidak turut terputus ketika bencana melanda.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles