KOTA KINABALU: Kesatuan Guru-Guru Kerajaan Sabah (KGKS) menyokong penuh inisiatif Kerajaan Sabah untuk membawa isu ketidakseimbangan struktur gred jawatan di Jabatan Pendidikan Negeri Sabah (JPNS) ke peringkat Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).
Presiden KGKS Murkam Hj Hussien berkata isu gred jawatan, khususnya gred jawatan timbalan pengarah pendidkan negeri merupakan antara perkara yang sudah lama diperjuangkan oleh kesatuan itu.
“Mengikut carta jawatan JPNS sekarang, gred bagi jawatan timbalan pengarah pendidikan Sabah dan pegawai pendidikan daerah adalah sama iaitu gred 54.
“KGKS melihat bidangkuasa dan tugas kedua-dua jawatan peringkat negeri dan daerah agak berbeza. Peranan timbalan pengarah pendidikan negeri lebih tinggi dan
sebab itu, kita di KGKS menyokong agar jawatan JUSA C diwujudkan bagi menambah baik struktur gred jawatan di JPNS,” katanya.
Murkam berkata demikian ketika mengulas kenyataan Menteri Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah Datuk James Ratib berhubung isu tersebut.
Semalam, James dipetik sebagai berkata bahawa langkah kerajaan Sabah membawa isu gred jawatan ke KPM itu bertujuan memastikan keadilan dalam laluan kerjaya serta memperkukuhkan keberkesanan pentadbiran sektor pendidikan di negeri ini.
Menurut James, struktur perjawatan sedia ada menunjukkan jurang yang ketara apabila jawatan timbalan pengarah JPNS hanya berada pada gred 54, manakala pengarah berada pada gred Jusa B tanpa sebarang jawatan Jusa C sebagai penghubung.
Situasi tersebut bukan sahaja menimbulkan ketidakadilan dari sudut hirarki jawatan, malah memberi kesan terhadap motivasi dan semangat kerja pegawai kanan pendidikan kerana gred timbalan pengarah adalah setara dengan Pegawai Pendidikan Daerah (PPD), kata James.
