Barisan wakil rakyat parti Warisan adakan mesyuarat bersama pengarah HDOK Sandakan

SANDAKAN : Calvin Chong serta enam  barisan Wakil Rakyat Parti WARISAN Sandakan telah mengadakan satu mesyuarat bersama Pengarah Hospital Duchess Of Kent (HDOK) Sandakan, Doktor Fahmie Othman, bagi membincangkan isu-isu berkaitan perkhidmatan kesihatan, kebajikan pesakit serta keperluan infrastruktur hospital di Sandakan.

Dalam mesyuarat tersebut, Calvin Chong, selaku salah seorang Wakil Rakyat Parti WARISAN Sandakan, telah membangkitkan beberapa isu utama yang sering menjadi aduan rakyat, antaranya kekurangan tempat letak kereta, tempoh menunggu pesakit yang terlalu lama, keperluan pembinaan bangunan hospital baharu, serta tekanan beban kerja yang dihadapi oleh Hospital Duchess Of Kent Sandakan.

Pihak hospital memaklumkan bahawa aduan berkaitan kelewatan masa menunggu pesakit boleh disalurkan secara rasmi bagi membolehkan siasatan dijalankan untuk mengenal pasti punca kelewatan sama ada melibatkan prosedur pentadbiran, kekangan tenaga kerja seperti doktor dan jururawat, atau faktor lain.

HDOK kini menampung keperluan rawatan bagi hampir 900,000 populasi pesakit, melibatkan kawasan Sandakan dan daerah sekitar termasuk Kinabatangan, Beluran, Telupid, Tongod serta kawasan pedalaman lain. Pihak hospital turut memaklumkan keperluan penempatan lebih ramai pegawai kesihatan dari Sabah berikutan isu penempatan dan perpindahan pegawai dari luar negeri atas faktor keluarga dan komitmen peribadi.

Dari segi infrastruktur, HDOK telah mengambil inisiatif menambah kapasiti tangki simpanan air sebagai langkah persediaan sekiranya berlaku gangguan bekalan air. Projek naik taraf hospital termasuk cadangan pembinaan kemudahan tempat letak kereta sedang dalam proses penyediaan pelan bersama Jabatan Kerja Raya (JKR). 

Walau bagaimanapun, pembinaan ini berdepan kekangan struktur tanah yang mencabar serta memerlukan kajian teknikal yang teliti. Selain itu, kedudukan hospital yang berhampiran laut memerlukan pemeriksaan struktur yang lebih menyeluruh serta penggunaan bahan binaan yang lebih tahan bagi menjamin keselamatan dan ketahanan jangka panjang bangunan hospital.

Barisan Wakil Rakyat Parti WARISAN Sandakan sebulat suara menyatakan sokongan penuh terhadap permohonan pembinaan bangunan hospital baharu serta pembinaan tempat letak kereta baharu bagi HDOK demi keselesaan pesakit, pelawat dan kakitangan hospital.

Pihak hospital turut memaklumkan keperluan kewujudan hospital swasta di Sandakan sebagai langkah perkongsian beban kerja, khususnya bagi pesakit yang mempunyai perlindungan insurans, agar hospital kerajaan dapat memberi tumpuan kepada golongan yang benar-benar memerlukan. Selain itu, orang ramai turut digalakkan untuk tampil menderma darah berikutan kekurangan bekalan darah yang sering berlaku.

Dalam aspek perkhidmatan kecemasan, HDOK telah menjalinkan kerjasama berterusan dengan agensi lain seperti Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), St. John Ambulans dan pihak berkaitan bagi memastikan keperluan perkhidmatan ambulans dapat dipenuhi.

Barisan Wakil Rakyat Parti WARISAN Sandakan akan terus memantau serta memperjuangkan penambahbaikan perkhidmatan dan kemudahan kesihatan di Hospital Duchess Of Kent Sandakan demi memastikan kesejahteraan rakyat Sandakan dan kawasan sekitarnya terus terpelihara.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles