PAPAR: Beberapa kampung di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Limbahau turut terjejas bekalan air sejak bulan lalu, yang dikatakan berkemungkinan berlaku perbuatan sabotaj terhadap infrastruktur awam.
Pembantu Menteri Pembangunan Luar Bandar merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Limbahau, Datuk Juil Nuatim, sehubungan itu menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan terperinci mengenainya.
Katanya, laporan polis sudah dibuat oleh Ahli Parlimen Papar, Datuk Armizan Mohd Ali mengenai kemungkinan sabotaj itu.
“Perkara ini (gangguan bekalan air) menjejaskan ramai pengguna, maka kita serahkan kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan dan tindakan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Rumah Terbuka DUN Limbahau sempena Hari Krismas 2025 dan Tahun Baharu 2026, di Dewan Serbaguna Kg Biau, di sini.
Juil berkata berdasarkan maklumat awal, berlaku gangguan terhadap injap pintu air (sluice valve) di dua pam penggalak (booster pump) Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) yang membekalkan air ke beberapa kawasan.
Gangguan itu dipercayai melibatkan pengalihan bekalan air ke kawasan lain, sekali gus menyebabkan bekalan air ke kawasan terlibat bertambah kritikal.
Dalam pada itu, Juil berkata sebuah pekan baharu dalam kawasan DUN Limbahau akan dibina di Kg Gana, di sini, meliputi kawasan kira-kira 200 ekar.
Katanya, projek berkenaan adalah antara pembangunan yang dirancang bagi mengubah landskap kemajuan kawasan DUN Limbahau.
Selain itu, katanya, sebuah sekolah menengah juga dicadang untuk dibina bagi memenuhi keperluan pelajar melanjutkan pengajian menengah mereka.
“Limbahau mempunyai banyak sekolah rendah, tapi hanya ada sebuah sekolah menengah mubaligh yang cuma dapat menampung kira-kira 400 pelajar dalam satu masa, sedangkan jumlah keperluan begitu tinggi.
“Ramai anak-anak yang terpaksa melanjutkan pelajaran ke daerah Papar yang jaraknya jauh dan memerlukan kos tinggi untuk pengangkutan,” katanya.
